Skip to content

Program penstrukturan harga gagal: Mana pergi RM262 juta peruntukan?

Dalam Bajet 2016, program penyeragaman harga nampaknya diteruskan dengan peruntukkan RM260 juta, dan sudah empat tahun berturut-turut dibentangkan bertujuan menyeragamkan harga barangan antara Timur dan Barat Malaysia. Apa yang menjadi persoalan ialah, bagaimana peruntukkan ini digunakan dan bagaimana caranya menyeragamkan harga barangan? Hingga kini saya tidak dapat melihat kejayaan program ini.

Antara program yang dijalankan ialah; Kementerian Wilayah Persekutuan telah mengisytiharkan bermula 1 Januari 2013, tambang feri, kenderaan komersial, bot dan penumpang dari darat Sabah ke Labuan dan sebaliknya akan menikmati diskaun 50 peratus, dan kerajaan membayar secara subsidi kepada peusaha-peusaha feri dan kenderaan komersial itu.

Namun, saya dimaklumkan bahawa program ini telah dihentikan pada tahun 2015 tanpa notis yang awal, notis ini hanya dikeluarkan lewat bulan Jun 2015, ia mengakibatkan para peusaha feri mengalami kerugian dan dianggarkan sebanyak RM3 juta , iaitu subsidi yang dijamin bayar oleh kerajaan persekutuan.

Bagaimana ini boleh berlaku? Sedangkan pada hujung tahun 2014, Perbadanan Labuan dan Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Ketua Setiausaha dalam surat telah membuktikan bahawa diskaun ini akan diteruskan bagi tahun 2015, tetapi subsidi itu dihentikan pembayarannya sejak November 2014 sehingga Jun 2015 baru sebelum dibatalkan, ini satu penipuan. Dimanakah peruntukkan yang disediakan sebanyak RM262 juta dalam belanjawan 2015? Saya harap perkara ini diberi penjelasan dan tunggakan bayaran itu haruslah diselesaikan.

Daripada kes ini, saya ingin tahu berapa peruntukkan telah diberikan untuk tujuan ini setiap tahun? Berapakah pembelanjaan telah digunakan setiap tahun? Bagaimana peruntukkan ini telah digunakan untuk tujuan ini?

Bajet 2016 menyediakan peruntukkan sebanyak RM260 juta, namun subsidi telah dihentikan, saya ingin tahu adakah subsidi ini akan diteruskan pada tahun depan? Jika ada peruntukkan disediakan tiap-tiap tahun, kenapa tiba-tiba hentikan subsidi tanpa notis dan menyebabkan kesulitan peusaha-peusaha feri dan kenderaan komersial ini? Ini sememangnya tidak wajar. Adakah Perbadanan Labuan telah menerima peruntukan tersebut tanpa pengetahuan kementerian? Ini tidak masuk akal. Saya harap pihak kementerian dapat beri penjelasan kepada rakyat.