Sumber Data yang dikeluarkan oleh Universiti John Hopkins pada 20 Mei 2021, sangatlah membimbangkan. Malaysia berada pada kedudukan nombor dua selepas India dalam jumlah kes positif Covid 19 /million populasi, berbanding negara-negara lain dunia seperti Amerika Syarikat, Thailand, Filipina, Jepun dan United Kingdom.
Program vaksinasi melaui PICK ( Pelan Immunisasi COVID-19 Kebangsaan) telah pun kini masuk ke fasa kedua yang akan melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti yang berpenyakit kanser dan kencing manis, termasuklah juga warga kurang upaya (OKU).
Umum tahu bahawa sejak ia dilancarkan dengan suntikan pertama vaksin Pfizer-BioNtech yang diberi kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari 2021, ia menyaksikan bukan hanya jumlah mereka yang mendaftar masih rendah bahkan kadar penerima suntikan vaksin COVID 19 ini juga masih terlalu rendah dengan capaian hanya sekitar 4-5% populasi.
Ini bermaksud, untuk Malaysia mencapai herd immunity atau imunisasi kelompok apabila 75% penduduk menerima vaksin dan negara boleh diisytihar selamat daripada jangkitan Covid-19 , adalah masih jauh daripada sasaran.
Wanita Pakatan Harapan menuntut Kerajaan agar menyatakan dengan jelas bagaimana pelan Vaksinasi fasa kedua yang melibatkan warga Emas dan kumpulan rentan ini akan dilaksanakan dan bila pula jangkaan fasa ini akan berakhir. Berapa ramai yang akan terlibat dan bagaimana pengagihan Vaksin ini mengikut negeri serta apakah mekanisma untuk mengesan mereka, supaya tiada siapa pun daripada golongan ini yang akan tertinggal daripada menerima vaksin.
Kami juga melihat vaksinasi kepada golongan rentan yang spesifik seperti Wanita Hamil harus juga diberi keutamaan. Selain daripada memastikan Vaksin jenama Pfizer yang didapati paling selamat diberikan untuk mereka kerana ia juga didapati selamat terhadap anak di dalam kandungan dan anak yang bakal disusukan kelak, ibu-ibu ini wajib didaftarkan terus ke dalam program vaksinasi apabila mereka hadir ke klinik rawatan Ibu mengadung.
Pekerja asing Domestik juga adalah golongan spesifik yang dirasakan perlu diberi keutamaan dalam program Vaksinasi ini kerana mereka berpotensi untuk menularkan jangkitan kepada mana-mana ahli keluarga majikan jika mereka didapati positif dengan Covid 19.