Skip to content

Program vaksinisasi HPV dan subsidi mamogram kini diteruskan untuk tahun 2016

Selepas tekanan daripada pelbagai pihak termasuk daripada pihak pembangkang sepanjang sesi perbahasan Bajet 2016, akhirnya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rohani Abdul Karim dalam jawapan beliau kepada perbahasan saya di peringkat jawatankuasa pada 30 November menyatakan bahawa kerajaan akan meneruskan program vaksinisasi HPV dan subsidi mamogram.

Beliau menyatakan bahawa pada tahun 2016, sebanyak 50,000 slot saringan mamogram dan 70,000 slot vaksinisasi HPV yang disubsidi akan terbuka untuk wanita di Malaysia.

Ini merupakan perkembangan yang positif.

Kos mamogram dan vaksinisasi HPV hanya 0.01% daripada Bajet 2016

Sebenarnya kos untuk kedua-dua program ini hanyalah kira-kira 0.01% daripada keseluruhan Bajet 2016. Justeru tidak masuk akal jika program-program yang begitu popular dan kritikal untuk kesihatan wanita dimansuhkan sama sekali sedangkan Jabatan Perdana Menteri menerima tambahan bajet RM1.1 billion bagi tahun 2016.

Saya menyeru agar kementerian menerbitkan laporan kemajuan kedua-dua program tersebut. Jika terdapat sebarang kelemahan, maka langkah-langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan. Kempen kesedaran patut dilaksanakan terutama di kawasan luar bandar agar rakyat sedar kepentingan vaksinisasi dan pengesanan awal dan mengambil kesempatan ke atas program-program subsidi kerajaan ini.

Kerajaan juga patut teruskan program subsidi payudara prosthesis dan coli post-mastectomy

Akhir sekali, dalam perbahasan saya, saya telah menggesa agar kementerian meneruskan program subsidi payudara prosthesis dan coli post-mastectomy. Program ini yang dimulakan pada tahun 2014 telah berjaya menghulurkan bantuan kepada 5,916 wanita yang menghidapi barah payudara dan menjalani pembedahan mastectomy.