Mengikut kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah ketika pelancaran Program Visa Premium (PVIP) Malaysia tempoh hari, semenjak pelancaran fasa satu program tersebut, sebanyak 20,000 pemohon telah diterima dalam 24 jam menerusi ejen-ejen tertentu.
Walaupun program ini dilihat seolah-olah ada manfaatnya kepada negara, terdapat beberapa persoalan yang perlu dijelaskan di sini. Pertamanya, siapakah agensi kerajaan dan ejen yang dipertanggungjawabkan di dalam menguruskan proses permohonan ini memandangkan butiran program ini tidak diuar-uarkan di mana-mana portal rasmi kerajaan dan bagaimanakah program ini diberitahu kepada ejen-ejen sebelum ini? Apakah kelayakan ejen-ejen sebelum mereka dilantik oleh kerajaan? Adakah ejen-ejen tersebut dibenarkan mengutip wang, fi atau sebarang yuran daripada para pemohon?
Sudah kita tahu, negara kita mempunyai sejarah hitam yang melibatkan pengurusan proses visa dan imigresen negara. Ramai pegawai-pegawai yang sudah ditangkap termasuk seorang bekas Timbalan Perdana Menteri kerana tidak amanah di dalam menjalankan proses pengurusan visa. Apakah jaminan bahawa proses ini tidak akan disalah uruskan seperti proses-proses pengeluaran visa sebelum ini, terutama sekali apabila melibatkan kutipan wang?
Persoalan seterusnya yang perlu dijelaskan adalah apakah kesinambungan dan kelainan program ini berbanding program-program visa yang lebih kurang yang sudah wujud? Apakah program sedia ada seperti Malaysian MySecond Home (MM2H) tidak dapat menjalankan bidang kuasa yang sama? Setiap kali program baru diwujudkan, sudah pastinya banyak belanja yang dikeluarkan untuk menguruskan program tersebut, termasuklah dengan menubuhkan jabatan baru serta melantik ejen-ejen baru.
Segala manfaat yang ditawarkan oleh program hanya dapat dirasai apabila pihak kerajaan telus dan amanah di dalam perancangan dan pelaksanaan program ini. Oleh yang demikian, adalah perlu butiran-butiran penting berkenaan isu ini diumumkan kepada orang ramai, prosesnya diperjelaskan dan pelaksanaannya diperhalusi. Tanpa informasi yang lengkap dan padat, bagaimanakah rakyat mahu berganding bahu di dalam program ini dan menarik pelabur-pelabur luar? Program ini juga perlu bersifat terbuka dan bukan dikhususkan “rahsia” untuk ejen-ejen yang tertentu.