Skip to content

Projek Air Perak

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) amat mengalu-alukan perkembangan terbaru Projek Air Perak – Pulau Pinang yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semalam (5 Mei 2024).

Pada pengumuman berkaitan, YAB Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Perak telah bersetuju untuk menyediakan bekalan air dari Perak melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai. Penyaluran bekalan air bagi fasa pertama Projek Air Perak – Pulau Pinang tersebut akan sampai ke Seberang Perai termasuk Nibong Tebal dan juga Sungai Bakap.

Secara keseluruhan, pelaksanaan Projek Air Perak – Pulau Pinang ini adalah amat penting kerana ia bukan saja akan memanfaatkan tiga negeri di utara Semenanjung, malah, keperluan 32,993 akaun pengguna di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang terjejas kini akan lebih terjamin. Ini termasuk pusat-pusat pembangunan sedia ada, dalam proses serta bakal diwujudkan kelak.

Justeru, berasaskan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP yang tidak pernah berbelah bahagi untuk memastikan kelestarian pembekalan air kepada rakyat Pulau Pinang, adalah diharapkan projek yang telah tertangguh selama 13 tahun ini akan dapat direalisasikan.