Skip to content

‘PROJEK AIR PERAK – PULAU PINANG’ PADA PERINGKAT AKHIR PERANCANGAN, KERAJAAN NEGERI MENGALU-ALUKAN PENGUMUMAN YAB PERDANA MENTERI DAN HARAP DISEGERAKAN

Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat mengalu-alukan pengumuman terkini oleh YAB Perdana Menteri semalam (14 Mac 2025) berhubung pelaksanaan Projek Air Perak – Pulau Pinang melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) ke Seberang Perai yang kini telah memasuki peringkat perancangan fasa akhir. Dalam pada itu, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar proses rundingan perjanjian pembelian air terawat dapat bermula dan diselesaikan, selain menyegerakan pelaksanaan projek yang mendesak ini.

Pada pengumuman berkaitan, YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim menyatakan bahawa pelaksanaan projek yang bakal membaik pulih dan meningkatkan kapasiti Sungai Perak serta membina sistem saliran terus untuk menyalurkan air ke Bukit Merah dan dari Bukit Merah ke Kerian kini berada pada peringkat akhir perancangan. Pada pengumuman berkaitan, YAB turut menekankan bahawa inisiatif tersebut bukan sahaja dijangka dapat meningkatkan pengagihan air untuk KIGIP serta seluruh daerah di sekitar kawasan tersebut, malah juga meluaskan bekalan ke Seberang Perai meliputi Sungai Bakap dan Cherok Tok Kun di negeri Pulau Pinang.

Di pihak kami, Kerajaan Negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pulau Pinang (PBAPP) telah bersedia dan perancangan awal telah dibuat dengan memperoleh kelulusan perlu berhubung pelaksanaan projek yang telah tertangguh selama 14 tahun ini (sebelum ini dikenali sebagai Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak, SPRWTS).

Secara keseluruhan, pelaksanaan Projek Air Perak – Pulau Pinang ini adalah amat penting kerana ia bukan saja akan memanfaatkan tiga negeri di utara Semenanjung, malah, keperluan para pengguna di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang terjejas kini akan lebih terjamin. Ini termasuk pusat-pusat pembangunan sedia ada, dalam proses serta bakal diwujudkan pada masa depan.