Tidak ada masalah dengan keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan kajian menyeluruh ke atas 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan Pakatan Harapan(PH) sekiranya SPRM menjalankannya secara adil dan profesional. Lagipun kajian SPRM tidak harus diperalatkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menghalang prinsip akauntabiliti dan ketelusan, dengan menggunakan kajian SPRM sebagai alasan untuk enggan mendedahkan senarai penuh projek dan syarikat penerimanya.
Pada masa yang sama, kami risau akan wujud masalah “antara dua darjat” di mana kajian SPRM hanya dijalankan ke atas projek runding terus PH dan tidaknya ke atas projek di zaman Barisan Nasional(BN) dan Perikatan Nasional(PN). Kegagalan SPRM membuat kajian ke atas projek runding terus kerajaan BN dan PN boleh menimbulkan persepsi negatif “antara dua darjat” atau double standard.
Kemelut “antara dua darjat” menjadi kontroversi, di mana Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi melanggari kuarantin kendiri selama 14 hari dan dikompaun “manja” hanya RM1,000, sedangkan mak cik warga emas berumur 72 tahun dihadapkan ke mahkamah dan didenda RM8,000 serta penjara 1 hari. Semoga SPRM boleh membuktikan bahawa mereka tidak menjadi senjata politik mana-mana pihak dengan turut menjalankan kajian menyeluruh terhadap PN dan BN, sama ada wujud unsur-unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa berhubung perkara ini.
Semalam mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mencabar Menteri Kewangan Tengku Zafrul demi prinsip ketelusan, harus mendedahkan senarai penuh projek runding terus PH, syarikat penerima dan siapa yang mendapat faedah. Itulah sebabnya Zafrul perlu dedahkan juga projek rundingan terus BN dan PN. Tun juga menyatakan projek runding terus selama ini dibenarkan tetapi diberikan gambaran oleh Zafrul seperti ia suatu kesalahan.
Pengecualian daripada menggunakan kaedah tender terbuka dibenarkan oleh Kementerian Kewangan berpandukan garis panduan kerajaan yang dilampirkan. Pengecualian daripada tatacara perolehan kerajaan merangkumi di antaranya, perolehan masa krisis atau bencana alam, perolehan berkepentingan nasional dan melibatkan keselamatan negara (Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Di-Raja Malaysia), kepakaran khusus (one of a kind).
Projek rundingan terus dibenarkan dalam keadaan banjir ataupun penyakit COVID-19 dan untuk menyegerakan kerja pemulihan dan penyelamatan. Ataupun membeli suatu produk tersendiri dan khusus seperti Microsoft Word Office, di mana tender terbuka tidak boleh dijalankan.
Contohnya, kegagalan perkhidmatan Feri Pulau Pinang yang menghentikan perkhidmatan buat kali pertama sejak beroperasi 126 tahun. Projek rundingan terus boleh diluluskan dalam keadaan ini untuk memulihkan perkhidmatan feri dengan segera.
Sememangnya Kementerian Kewangan PH mengamalkan sistem tender terbuka selaras dengan Manifesto Pilihan Raya Umum 2018 PH yang menyatakan dalam Janji 23, “Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar”.
Dalam kata lain, tender terbuka adalah asas perolehan tetapi dalam keadaan perlu, pengecualian boleh diberikan kepada projek rundingan terus. Itulah sebabnya peratusan projek runding terus sebanyak RM6.6 bilion ini hanya 1.4% daripada nilai keseluruhan perolehan di bawah PH. Rujuk jadual di bawah yang diperolehi dari Laporan Anggaran Perbelanjaan 2018-2019.
Proportion of contracts awarded via direct negotiation under PH
| Year | Supplies & Services (RM mil) |
Dev Expenditure (RM mil) |
Total Procurement (RM mil) |
| 2018 | 172,930 | 56,095 | 229,025 |
| 2019 | 194,654 | 53,700 | 248,354 |
| 367,584 | 109,795 | 477,379 | |
| % Direct Nego (RM6.6 bilion) |
6.01% | 1.38% |
Biar bicara fakta. Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar.