Skip to content

Propagandis Barisan Nasional berterusan memutarbelitkan fakta dan menyebarkan fitnah terhadap Lim Guan Eng dan pimpinan tertinggi DAP

Sehingga 5 petang hari Isnin, 10 Julai 2017, Ibupejabat Kebangsaan DAP masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai arahan untuk mengadakan pemilihan semula CEC walaupun kenyataan media telah disebarkan oleh ROS sejak Jumaat, 7 Julai yang lalu.

Dalam tempoh beberapa hari ini, para propagandis Barisan Nasional berusaha sedaya upaya untuk memutarbelitkan fakta, menyebarkan fitnah dan mengulangi pembohongan mereka selama ini bertujuan untuk mengelirukan rakyat kononnya DAP tidak mematuhi arahan daripada ROS sejak 4 tahun yang lalu dan kami sengaja berbuat demikian untuk kepentingan pemimpin tertinggi DAP.

Salah satu fitnah yang paling jahat ialah kononnya tindakan ROS untuk mengarahkan pemilihan semula CEC akan menguntungkan Lim Guan Eng dan sebagai Setiausaha Agung DAP, beliau ialah “main beneficiary” hasil daripada keputusan ROS untuk tidak mengiktiraf CEC yang dipilih pada 29 September 2013. Mereka mendakwa kononnya ini akan membenarkan Guan Eng untuk terus melanjutkan tempoh jawatan Setiausaha Agung DAP kerana tidak perlu terikat dengan had 3 penggal untuk jawatan Setiausaha Agung yang termaktub dalam Perlembagaan DAP.

Pendirian Lim Guan Eng dan pimpinan tertinggi DAP amatlah jelas bahawa tempoh jawatan CEC yang dipilih pada 29 September 2013 seharusnya diterima dan diiktiraf oleh ROS. Sekiranya Guan Eng ingin mengambil kesempatan daripada arahan ROS ini, maka sudah tentu beliau akan terus mengarahkan pemilihan semula dijalankan serta merta seperti yang diminta oleh ROS. Namun, keputusan mesyuarat CEC pada 8 Julai 2017 adalah sebaliknya.

Propagandis BN juga cuba untuk memutarbelitkan fakta kononnya pemilihan semula CEC pada 29 September 2013 tidak mematuhi syarat-syarat yang diarahkan oleh ROS dan tidak berpandukan Perlembagaan DAP.

Saya ingin menegaskan bahawa sepanjang 4 tahun ini sejak pemilihan semula CEC dijalankan pada 29 September 2013, ROS tidak pernah sama sekali memberikan sebarang notis secara bertulis kepada pihak DAP berkenaan apakah syarat yang dilanggari ataupun arahan manakah yang tidak dipatuhi oleh pihak kami. Sehingga hari ini, kami tidak tahu apakah “kesalahan” yang telah kami lakukan.

Juga perlu ditegaskan bahawa pemilihan semula CEC dalam Kongres Khas DAP pada 29 September 2013 adalah berpandukan sepenuhnya kepada peraturan-peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan DAP. Fakta ini tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak termasuk ROS sendiri!