Skip to content

Proses pembaharuan demokrasi di Malaysia bermula dengan larangan anti-lompat parti dan harus disusuli dengan pengharaman politik wang dengan meletakkan SPRM di bawah Parlimen

Hari ini tanggal 28 Julai 2022 ialah hari bersejarah kepada Malaysia kerana ia adalah titik permulaan terlaksananya perjuangan politik membaharui demokrasi dan membersihkan budaya politik di Malaysia daripada amalan politik wang. Sungguhpun pindaan Perlembagaan ini tidak mungkin memuaskan hati semua pihak, sekurang-kurangnya ia adalah langkah besar untuk memastikan nilai undi dihormati dan amanah rakyat kepada wakil rakyat tidak boleh dikhianati dengan sewenang-wenangnya.

Sebagai salah seorang yang menandatangani MOU ini bagi pihak PH dengan Perdana Menteri, untuk melihat hasilnya akhirnya dengan larangan wakil rakyat lompat parti sekaligus menolak dakwaan dangkal setengah pihak bahawa PH telah menyokong kerajaan ataupun membelakangkan prinsip kami. Yang lebih penting ialah memulihkan keyakinan kepada pengundi untuk memilih wakil rakyat yang berprinsip bukan pengkhianat dan mengundi wakil rakyat yang berjuang demi rakyat bukannya pembelot yang mengejar jawatan dan kekayaan.

Dengan kata lain peristiwa memalukan yang menghantui arena politik Malaysia seperti Langkah Sheraton pada 2020 tidak boleh berulang lagi. Hari ini, wakil rakyat yang mengkhianati parti dan melompat akan terpaksa sendiri mengakui mereka silap dan menerima akibatnya. DAP berasa bangga bahawa kesemua 42 Ahli Parlimen tidak menjual prinsip dan lompat parti dengan terus berpegang teguh kepada mandat rakyat yang mesti didokong dan tidak boleh dikhianati pada bila-bila masa.

Di sini, saya harus mengucapkan syabas kepada YB Iskandar Puteri Lim Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen pertama yang mencadangkannya termasuk mencadangkan Rang Undang-Undang bukan ahli Kerajaan pada 1978. Perlu disebut juga kerajaan negeri Pulau Pinang pada 2012 telah meluluskan pindaan Perlembagaan melarang perbuatan lompat parti. 10 tahun kemudian akhirnya disusuli oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan, Termasuk Semua Pindaan Perlembagaan Negeri, Harus Diwartakan dan Dikuatkuasakan Sebelum PRU -15 Diadakan.

Semasa taklimat yang diberikan oleh YB Menteri, beliau menyatakan bahawa pindaan Perlembagaan akan diwartakan pada 1 September 2022. Pindaan Perlembagaan Persekutuan, termasuk semua pindaan Perlembagaan Negeri, harus diwartakan dan dikuatkuasakan sebelum PRU-15 diadakan. Ini akan memastikan bahawa wakil rakyat yang baru dipilih tidak ada sebarang alasan untuk “lompat parti”.

Akan tetapi banyak yang perlu diusahakan pada masa depan, termasuk takrifan dan intrepretasi supaya tidak ada “loophole’ or “legal lacunae” yang membolehkan si opportunis ini daripada terus membolehkan amalan lompat parti. Tumpuan pindaan Perlembagaan ini ialah yang bertindak ke atas wakil rakyat yang lompat parti atau menukar parti atas inisiatif wakil rakyat sendiri dan bukan kepada mereka yang dipecat.

Apa akan berlaku bila seseorang tidak lompat parti tetapi sebenarnya meninggalkan parti secara pasif dengan mengundi menyokong parti lawan di Parlimen ataupun bertanding dalam pilihanraya bertentangan dengan calon parti ataupun rakan parti. Seharusnya ia harus juga dianggap meninggalkan parti atas inisiatif sendirinya dan digugurkan keahlian kerana meninggalkan parti dengan sendirinya lalu kehilangan status wakil rakyat mereka.

Seragamkan undang-undang anti-lompat parti dengan pindaan Perlembagaan Negeri yang serupa di semua negeri-negeri.

Saya juga cadangkan bahawa undang-undang tersebut harus diseragamkan di semua negeri agar tidak timbul percanggahan atau kekeliruan. Ini penting untuk memastikan Dewan Undangan Negeri melarang perbuatan terkutuk ini. PH akan memastikan bahawa ketiga-tiga negeri PH Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan membuat pindaan Perlembagaan Negeri pada masa terdekat yang seragam dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bebaskan SPRM Daripada Pengaruh Politik

Langkah seterusnya ialah memperkasakan pembaharuan demokrasi dengan menjadikan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) akauntable hafnia kepada Parlimen dan bukan seperti masakini di bawah Jabatan Perdana Menteri sekarang. Sudah sekian lama SPRM diperalatkan sebagai satu senjata politik untuk menjaminkan/mengekalkan sokongan kepada kerajaan ataupun mengugut Ahli Parlimen pembangkang menukar sokongan kepada kerajaan.

Sekiranya tidak ada tindak balas positif daripada Ahli Parlimen pembangkang, maka SPRM akan terus siasat dan menyusahkan Ahli Parlimen termasuk didakwa di mahkamah. Selepas Ahli Parlimen tersebut melompat, siasatan itu akan hilang dengan sendirinya atau terhenti begitu sahaja tanpa tindakan susulan. Ada banyak kes di mana ini berlaku ekoran siasatan selektif dan double-standard oleh SPRM. Hanya bila SPRM dapat dibebaskan atau dibersihkan daripada mereka yang terpengaruh oleh naungan politik barulah budaya politik Malaysia boleh dibersihkan daripada amalan politik wang.

Saya hendak akhiri ucapan saya dengan menyokong pindaan Perlembagaan anti-lompat parti dan mengucapakan tahniah kepada YB Santubong serta semua pihak yang membentangkan pindaan Perlembagaan ini, khususnya YB Puchong dengan pengetahuan perundangan sama-sama berjaya mencapai kata sepakat untuk semua pihak.