Demi memantapkan lagi peranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang negara (PAC) dalam semak dan imbang, PAC telah mengambil keputusan untuk terbabit secara proaktif dan mengadakan prosiding dalam memastikan Pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12) yang diperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM400 bilion untuk tempoh lima tahun akan dibelanjakan secara berhemah, telus dan bertanggungjawab.
Prosiding berhubung Pelaksanaan RMK-12 telah dimulakan dengan memanggil Kementerian Kewangan (MOF) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri pada hari ini.
Prosiding berkenaan diadakan selama dua jam setengah bermula jam 1030 pagi itu, MOF diwakili Datuk Asri Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan manakala EPU pula diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Saiful Lebai Hussen. Hadir sama, Pengarah Belanjawan Negara MOF, Datuk Johan Mahmood Merican.
Melalui prosiding ini, PAC mahu setiap projek yang dilaksanakan Kerajaan bebas daripada unsur-unsur Penyelewengan, Penyalahgunaan kuasa dan Pemborosan. Kementerian-Kementerian dan Agensi-Agensi Kerajaan perlu tahu bahawa “PAC is watching” pada setiap masa dalam pelaksanaan projek-peojek dan perbelanjaan wang Rakyat.
Dalam prosiding berkenaan, Datuk Asri dan Datuk Saiful memberikan penjelasan dan penerangan berhubung prosedur Kerajaan dalam melaksanakan setiap projek RMK-12, peruntukkan dan kewangan yang disediakan, serta kawalan yang dilakukan bagi memastikan ia benar-benar berjaya dilaksanakan seperti yang dijanjikan.
MOF dan EPU juga memberikan persetujuan untuk memberikan kerjasama kepada PAC dalam memantau pelaksanaan projek RMK-12 terutama membabitkan projek-projek mega. PAC akan menetapkan jadual berkala setiap suku tahun untuk mengadakan prosiding pemantauan ini.