Skip to content

Prosiding pembangunan dan peroleh aplikasi MySejahtera

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini, hadir di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memberikan keterangan dan penjelasan dalam prosiding Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera.

Dalam prosiding yang berlangsung selama tiga jam bermula 10 pagi itu, turut hadir adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Harjeet Singh a/l Hardeev Singh serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan (MOF)
dan KKM.

Prosiding ini diadakan dengan menggunakan punca kuasa PAC di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) dan 77(5) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMDR) serta Seksyen III, Perkara 11 (b), Pekeliling Am No. 2 (1982).

Fokus PAC dalam prosiding pada hari ini termasuk:

  1. Pemberian kontrak pmbangunan aplikasi MySejahtera kepada syarikat KPI Soft Sdn. Bhd. pada bulan April 2020;
  2. Pemberian kontrak secara rundingan terus kepada syarikat MySJ Sdn Bhd oleh Kerajaan pada bulan November 2021 serta status rundingan Kerajaan dengan syarikat berkenaan;
  3. Pemilikan aplikasi MySejahtera termasuk modul aplikasi, source code aplikasi, harta intelek dan pangkalan data;
  4. Komitmen Kerajaan untuk melindungi data-data peribadi rakyat dalam aplikasi MySejahtera; dan
  5. Entiti syarikat-syarikat yang terlibat dalam aplikasi MySejahtera iaitu MySJ Sdn. Bhd., KPI Soft Sdn. Bhd. dan entiti-entiti syarikat lain dalam pertikaian kes antara pemegang-pemegang saham MySJ Sdn. Bhd. di mahkamah.

PAC berpendapat bahawa perlu memanggil lagi saksi lain bagi memberikan keterangan lanjut bagi prosiding ini. PAC akan memanggil tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) pada 21 April 2022, Khamis untuk hadir bagi memberikan keterangan dan penjelasan berhubung isu ini.