Skip to content

Prosiding pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan memulakan prosiding berhubung Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera pada pertengahan April ini.

Pada 21 September 2021, melalui satu jawapan di Dewan Rakyat, Kerajaan telah menyatakan aplikasi MySejahtera bermula sebagai Corporate Social Responsibility (CSR) dan telah tamat tempoh CSR yang diberikan selama satu (1) tahun iaitu pada 31 Mac 2021. Kerajaan telah memutuskan untuk membuat pembayaran untuk penggunaan aplikasi Mysejahtera bermula pada 1 April 2021.

Isu aplikasi MySejahtera turut terkandung dalam Laporan PAC berhubung Perolehan Vaksin Covid-19 dan Penggunaannya Terhadap Rakyat Malaysia yang dibentangkan di Parlimen pada 1 Disember 2021. Pada ketika itu, PAC merumuskan konsep CSR telah digunakan sebagai suatu mekanisma untuk mendapatkan projek Kerajaan tanpa melalui prosedur perolehan yang sepatutnya. PAC turut mengesyorkan Kerajaan tidak harus membuat bayaran untuk penggunaan aplikasi MySejahtera kerana pembangunannya adalah bersifat CSR. Kerajaan hendaklah mengambil alih pengoperasian aplikasi MySejahtera tanpa melibatkan apa-apa kos tambahan memandangkan ia telah menjadi sebahagian daripada sistem kesihatan negara.

Pada 8 Mac 2022, Jawatankuasa ini telah mengadakan prosiding Tindakan Susulan Pegawai Pengawal Terhadap Syor bagi Laporan PAC berkenaan. Dalam prosiding tersebut, PAC telah dimaklumkan, antara lain, bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 November 2021 bersetuju memberikan kelulusan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia melantik syarikat MYSJ Sdn. Bhd. secara rundingan terus bagi tujuan memurnikan semula proses perolehan aplikasi MySejahtera. PAC dimaklumkan bahawa KKM perlu melaksanakan due diligence terhadap syarikat yang hendak dilantik.

Pada masa yang sama, PAC telah membangkitkan persoalan bagaimana pemilikan aplikasi MySejahtera dipindah daripada KPISoft Malaysia Sdn. Bhd. kepada MYSJ Sdn. Bhd. PAC berpandangan bahawa pelantikan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat baharu tidak harus berlaku.

Laporan Tindakan Susulan PAC ini kemudian telah dibentangkan ke Dewan Rakyat pada 24 Mac 2022 dan isu ini mendapat perhatian meluas rakyat sepanjang minggu yang lepas.

PAC berpandangan isu berhubung pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera ini perlu dijelaskan secara telus di hadapan Jawatankuasa ini sebagai sebuah jawatankuasa nonpartisan demi kepentingan rakyat dan negara, khasnya pelantikan sebuah syarikat swasta sebagai pengendali aplikasi MySejahtera secara rundingan terus serta kos yang terlibat. Tambahan pula, ia membabitkan isu berhubung keselamatan data peribadi rakyat sekali gus mengelakkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas maklumat peribadi rakyat.

Maka, adalah amat wajar untuk PAC mengadakan prosiding berhubung isu aplikasi MySejahtera selaras dengan punca kuasa Jawatankuasa ini di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang jelas menyebut “…apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut diperiksa…”. Selain itu, PAC juga akan menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 83(2) serta Perkara 11(b) Pekeliling Am Bil 2 Tahun 1982 dalam mengendalikan prosiding ini.

PAC akan memanggil Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perdana Menteri untuk prosiding ini. Sebagai permulaaan, dua (2) saksi utama akan dipanggil iaitu Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk hadir di hadapan PAC.

Tarikh dan masa prosiding akan ditetapkan dan diumumkan dalam masa terdekat.