Skip to content

Prosiding tukaran tanah Kementerian Pertahanan

Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor telah hadir di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen sebagai saksi Prosiding Tukaran Tanah Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada hari semalam, 4 Julai 2022.

Datuk Onn Hafiz menjadi saksi keempat dalam prosiding ini berikutan pendedahan Jawatankuasa Siasatan, Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang kepada PAC bahawa beliau mempunyai kaitan dalam projek pembinaan Kem Paloh di Kluang mulai tahun 2016 dengan kaedah tukaran tanah (land swap).

Saksi-saksi yang telah dipanggil oleh PAC sebelum ini bagi isu ini adalah seperti berikut:

  1. 16 November 2020 – Tan Sri Ambrin Buang, Pengerusi Jawatankuasa Siasatan, Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK);
  2. 30 November 2020 – Datuk Seri Muez, KSU MINDEF; dan
  3. 1 Disember 2021 – Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Pertahanan.

Projek tukaran tanah (land swap) dan pembinaan baharu ini, yang bermula pada tahun 2012, asalnya, melibatkan:

  1. Tukaran tanah (land swap) kem asal iaitu Kem Kinrara, Selangor seluas 94.01 ekar;
  2. Pembinaan fasiliti Tentra Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sendayan, Negeri Sembilan; dan
  3. Pembinaan Kem Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun pada tahun 2016, cadangan pembinaan Kem Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan telah ditukar menjadi cadangan pembinaan Kem Paloh, Kluang.

Dalam prosiding yang diadakan di Pejabat Daerah Kluang, Johor, Datuk Onn Hafiz hadir atas kapasiti sebagai mantan Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan daripada tahun 2013 hingga 2018, dan siasatan PAC adalah menjurus kepada peranan yang dimainkan beliau dalam cadangan pembinaan
Kem Paloh, Kluang mulai tahun 2016.

Hadir sama memberikan penjelasan dan keterangan di hadapan PAC adalah Dato’ Sri Muez Abdul Aziz, Ketua Setiausaha MINDEF dan Datuk Dr
Shahrazat Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MINDEF.

Prosiding berkenaan yang bermula jam 4 petang dan berakhir 2 jam kemudian.

Sebelum prosiding bermula, PAC pada sebelah pagi telah melawat Kem Paloh seluas kira-kira 65 ekar bagi meninjau perkembangan pembinaan kem berkenaan yang dibangunkan bagi menempatkan Markas 33 Rejimen Artileri Diraja (33 RAD) dan 8 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

PAC akan meneliti semua keterangan dan memuktamadkan laporan PAC bagi isu ini.

Rujukan latar belakang isu dalam pautan-pautan berikut:

https://www.mod.gov.my/ms/mediamenu/siaran-akhbar/78-laporan-jawatankuasa-siasatan-tadbir-urus-perolehan-dan-kewangan-kerajaan-jkstupkk-berhubung-pelaksanaan-projek-land-swap-kementerian-pertahanan-9-mei-2019

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kementerian-pertahanan-buat-laporan-sprm-isu-land-swap-kem-paloh-dan-kem-hutan-melintang-199205