Pulau Pinang akan meningkatkan pertumbuhan pelancongan dan pendapatan dengan projek pemangkin ekonomi seperti IKEA, rangkaian jualan perabot terbesar di dunia, dan tidak meluluskan kasino yang lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan. Walaupun manfaat ekonomi dari kasino adalah berlipat ganda, kesan sosial dan rohani adalah terlalu berat dan tinggi untuk ditanggung oleh masyarakat pelbagai budaya dan majmuk di negeri ini.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat gembira kerana IKEA telah memutuskan untuk membuka kedai pertama mereka di luar Kuala Lumpur di Batu Kawan, Pulau Pinang. Keputusan ini adalah rangsangan keyakinan yang kuat untuk aspirasi Pulau Pinang ke arah bandar antarabangsa dan pintar.
Projek ini yang merupakan usahasama antara syarikat induknya, Ikano dan sebuah syarikat tempatan, akan membangunkan pusat sehenti hijau (green one-stop center) bagi pembuatan termaju, perkhidmatan dan hab logistik; sebuah pusat kecemerlangan pendidikan, lokasi kediaman perdana dan juga sebagai pusat komersil dan runcit. Saya telah bertemu dengan pasukan teknikal IKEA dan pasukan reka bentuk IKEA yang terdiri daripada Encik Mikael Winqvist, Pengurus Projek Pelaburan, Encik Tim Denoon, Pengurus Rekaan Serantau dan Encik Edward Ng, Penolong Pengurus Pengembangan (gambar).
Penjualan 245 ekar tanah oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Batu Kawan yang bernilai RM 484 juta, di mana pusat membeli-belah dijangka akan siap dalam tempoh lima tahun terdiri daripada: –
- 30 ekar untuk pembangunan kedai utama Ikano iaitu Kedai IKEA dan Fasa 1 pusat membeli-belah
- 45 ekar untuk pembangunan fasa 2 pusat membeli-belah; dan
- 170 ekar untuk projek pembangunan bercampur (gugusan-gugusan baki)
PDC telah menerima deposit tidak boleh dikembalikan (non-refundable) bernilai RM 5 juta. Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan pelaburan dengan Ikano ini yang bukan sahaja akan bertindak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi tetapi juga meletakkan Batu Kawan di peta antarabangsa sebagai tapak bertaraf dunia bagi pusat komersial industri, peruncitan, pendidikan dan kesihatan serta gaya hidup.