Penang Green Council telah menjalankan satu kaji selidik untuk mendapatkan pemahaman orang awam mengenai pelaksanaan kempen “Tak Nak Penyedut Minuman Plastik” di Pulau Pinang. Hasil dari kaji selidik tersebut mendapati bahawa faktor ketersediannya di pasaran dan mudah untuk diperolehi menyumbang kepada peningkatan penggunaan barangan tersebut. Selain itu, barangan ini juga telah dibekalkan oleh pengusaha premis makanan dan minuman kerana ianya mudah untuk digunakan, murah dan senang untuk dibuang. Kaji selidik ini dibahagikan kepada dua kategori – pengguna dan pengendali perniagaan.
Daripada 1,948 jumlah responden, 76% menyatakan sokongan mereka manakala kurang daripada 15% menentang. Sementara itu, 60% responden bersetuju bahawa premis perniagaan perlu digalakkan untuk mengurangkan pemberian plastik sekali guna dengan melaksanakan sistem ganjaran dan penalti apabila pengguna membawa bekas makanan atau minuman sendiri. Ini adalah kerana, hampir separuh daripada responden lebih cenderung untuk membuang barangan plastik sekali guna ke dalam tong sampah selepas ianya digunakan, 29.5% sahaja daripada mereka mengitar semula barangan plastik tersebut sementara 19.6% memilih untuk menggunakan semula barangan tersebut.
Selain itu, kaji selidik ini turut dijalankan terhadap 231 pengendali perniagaan termasuk restoran (51.5%), kedai makanan/medan selera (22.1%), kafe (15.6), hotel dan lain-lain pengendali makanan dan minuman. Walaupun majoriti responden memilih untuk membekalkan plastik sekali guna kerana ianya mudah, namun mereka juga turut bersetuju untuk memilih alternatif yang lebih mesra alam seperti, mengenakan bayaran bagi setiap barangan plastik yang diminta, membekalkan barangan plastik hanya dengan permintaan sahaja dan menyediakan khidmat pengisian air kepada pengguna.
Kajian pada tahun 2010 menunjukkan bahawa Malaysia sahaja telah menghasilkan 0.94 juta tan sisa salah urus, dengan 0.14 hingga 0.37 juta tan berkemungkinan hanyut ke lautan. Ini telah meletakkan Malaysia di tangga kelapan peringkat antarabangsa dalam salah urus pencemaran sisa plastik. Selain itu, Malaysia juga adalah pengeksport plastik keempat terbesar di Asia serta menduduki tangga ke -25 dalam pengeksportan plastik global pada tahun 2017.
Di bawah “Pelan Hala Tuju Sifar Penggunaan Plastik Pakai Buang 2018-2030”, terma plastik sekali guna adalah merujuk kepada penyedut minuman plastik dan beg plastik. Penyedut minuman dan beg plastik sekali guna tidak akan dibekalkan menjelang tahun 2030 yang akan melibatkan usaha kerajaan tempatan untuk mengenakan “caj pencemaran” dan memperkenalkan dasar “Tak Nak Penyedut Minuman Plastik”. Pelan ini juga akan menyaksikan pelaksanaan ekonomi pekeliling untuk aktiviti kitar semula serta meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam teknologi dan industri kitar semula di rantau ini.
Pulau Pinang telah menjalankan kempen “Tanpa Beg Plastik Percuma” pada Julai 2009 dan pada 2011, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan kempen “Setiap Hari Tanpa Beg Plastik Percuma” di semua pasar raya dan pasar raya besar. Bagi meneruskan kejayaan dari kempen “Tanpa Beg Plastik Percuma” ini, Pulau Pinang sekali lagi mengorak langkah dengan memperkenalkan kempen “Tak Nak Penyedut Minuman Plastik” dalam usaha ke arah negeri hijau dan selaras dengan cita-cita Malaysia untuk menjadi negara bebas plastik sekali guna pada tahun 2030. Program dan aktiviti melibatkan pihak berkepentingan akan dianjurkan sepanjang bulan Mac manakala kempen kesedaran akan dianjurkan sepanjang 6 bulan bermula dari bulan April.
Sisa plastik telah menjadi isu global yang semakin meruncing dimana semakin banyak negara sedang berusaha untuk menghentikan penggunaanya yang meluas, terutamanya bagi penggunaan plastik sekali guna. Menurut pelan tindakan “Single-use Plastic: A Roadmap to Sustainability 2018” dari Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), menyatakan pada tahun 2015, sisa plastik di seluruh dunia mencapai lebih dari 400 juta tan setiap tahun dan sebanyak 300 juta tan berakhir menjadi sampah. Peningkatannya yang mendadak dan secara berterusan ini telah berlaku sejak dari tahun 1950-an lagi. Plastik sekali guna secara amnya mempunyai jangka hayat yang pendek dan dihasilkan untuk dilupuskan selepas penggunaan yang singkat. Dianggarkan 79% sisa plastik kini berada di tapak pelupusan sampah atau dibuang, dan hanya sekitar 9% sahaja dikitar semua di seluruh dunia. Lebih dari 60 buah negara telah mula memperkenalkan langkah dan cadangan untuk mengekang penggunaan plastik sekali guna termasuklah China di mana pengimportan lapan jenis sisa plastik telah diharamkan sejak 2018 untuk melindungi alam sekitar dan kesihatan awam.
Pada 2017, rakyat Malaysia menghasilkan hampir 3 juta tan sisa. Terkini, terdapat 150 buah tapak pelupusan sisa pepejal di seluruh negara. Dalam pada itu, 74 buah tapak pelupusan yang masih lagi beroperasi dijangka akan mencapai jangka hayat maksimum menjelang tahun 2020. Pada 2018 sahaja, 4 tapak pelupusan sisa di Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan telah berhenti beroperasi kerana mencapai jangka hayat maksimum, menjadikan jumlah tapak pelupusan yang tidak lagi beroperasi sebanyak 165 buah.
Rakyat Malaysia menggunakan sejumlah 31 juta penyedut minuman plastik setiap hari, dimana jumlah tersebut boleh memenuhi 8 buah bas sekolah setiap hari, 56 buah bas seminggu dan 2,920 buah bas setahun. Kerajaan Negeri menyeru semua restoran untuk tidak lagi memberi penyedut minuman plastik kepada pengguna. Ianya hanya boleh didapati atas permintaan bagi mereka yang memerlukan sahaja, seperti kanak-kanak, orang sakit dan golongan tua. Penyedut minuman plastik yang dibuang akan memusnahkan hidupan marin dan turut mengancam kesihatan manusia. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha mengurangkan penggunaan penyedut minuman plastik ke arah Pulau Pinang yang Bersih, Hijau, Selamat, Sihat dan Bahagia!