Skip to content

Pulau Pinang menyokong dan akan memberi kerjasama penuh terhadap Perintah Kawalan Pergerakan dengan tujuan untuk mengawal penularan wabak COVID-19

Susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam, Kerajaan Negeri ingin memaklumkan bahawa Pulau Pinang menyokong dan akan memberi kerjasama penuh terhadap Perintah Kawalan Pergerakan ini dengan tujuan untuk mengawal penularan wabak COVID-19.

Satu mesyuarat EXCO Khas telah diadakan pada pagi ini bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil dan dipatuhi sepanjang tempoh perintah bermula esok, 18 Mac sehingga 31 Mac 2020. Semua agensi Kerajaan Negeri dan swasta diminta untuk menyokong dan memberikan kerjasama agar Perintah Kawalan Pergerakan ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Sememangnya, Kerajaan Negeri telah memulakan langkah awal ini sebelum pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan tersebut. Hal-hal yang berkaitan dengan Hal Ehwal Agama Islam, Timbalan Ketua Menteri I, YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman akan memperhalusi perintah ini bersama-sama dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP); Timbalan Ketua Menteri II, YB Profesor Dr. P. Ramasamy akan menguruskan bersama dengan Lembaga Wakaf Hindu (HEB) manakala hal-hal berkaitan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) bakal dikendalikan oleh YB Chong Eng.

Premis perniagaan hendaklah ditutup kecuali pasar raya, kedai runcit, kedai serbaneka dan pasar awam dibenarkan beroperasi seperti biasa, seperti mana yang telah diumumkan oleh YB Jagdeep Singh dalam sidang media sebelum ini.

Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.

Kerajaan Negeri mengambil maklum dan Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah mengeluarkan arahan kepada semua agensi Kerajaan Negeri agar membatalkan semua lawatan ke luar negara. Pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Imigresen, lapangan terbang, terminal pelabuhan serta lain-lain agensi berkaitan juga akan bertindak seperti mana yang telah dimaklumkan.

Ketiga, sekatan kemasukan pelancong dan pelawat asing.

EXCO Pelancongan, YB Yeoh Soon Hin telah mengarahkan Penang Global Tourism (PGT) dan Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) untuk menghentikan segala promosi, pemasaran, persidangan dan lawatan dalam negeri dan luar negara bagi tujuan mempromosikan sektor pelancongan.

Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah serta pra-universiti.

Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.

Empat (4) EXCO iaitu Timbalan Ketua Menteri I, Timbalan Ketua Menteri II, YB Phee Boon Poh dan YB Chong Eng akan memastikan perkara di bawah portfolio masing-masing dipatuhi sepenuhnya.

Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat daam perkhidmatan penting (essential services).

Penjawat awam di agensi Kerajaan Negeri yang tidak menawarkan perkhidmatan penting (essential services) harus mengikut prinsip bukan bercuti dan bukan discharge of duty, sebaliknya perlu bekerja dari rumah sekiranya perlu. Pusat-pusat khidmat Wakil Rakyat juga akan ditutup, manakala petugas perlu bersedia pada bila-bila masa sekiranya diperlukan dalam keadaan wajib. Mesyuarat EXCO mingguan akan diadakan seperti mana yang telah dijadualkan tetapi hanya akan menyentuh tentang perkara-perkara wajib sahaja (essential matters) sebagai nadi kepada jentera pentadbiran Negeri Pulau Pinang. Bagi semua agensi lain, mesyuarat-mesyuarat penting (essential meeting) sahaja akan diadakan sekiranya perlu. Sekiranya tidak, dalam tempoh ini tiada mesyuarat perlu diaturkan.

Berhubung dengan status penutupan perkhidmatan sektor perkilangan pula, Kerajaan Negeri meminta agar semua pihak menunggu pengumuman yang akan dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan susulan mesyuarat yang telah diperhalusi pagi tadi.

Special Task Force COVID-19 di bawah YB Setiausaha Kerajaan Negeri diminta untuk mengadakan mesyuarat wajib setiap hari bermula esok dan bukannya seminggu sekali seperti mana sebelum ini. EXCO Kesihatan, YB Dr. Norlela dan EXCO Kebajikan, YB Phee Boon Poh juga turut diminta untuk menjadi ahli dalam Special Task Force tersebut yang mana ia turut dianggotai oleh Jawatankuasa Keselamatan Negeri. Taklimat terkini akan diberikan pada petang nanti berhubung persiapan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam menangani wabak ini. Pihak Kerajaan Negeri juga amat prihatin terhadap sokongan logistik yang perlu diberikan kepada JKNPP, dan YB Phee Boon Poh (EXCO Kebajikan) akan diberikan tanggungjawab untuk melihat perkara ini bersama dalam task force itu nanti.

Dalam memantapkan proses komunikasi dan penyampaian maklumat yang tepat kepada orang awam, EXCO juga telah bersetuju untuk melantik Ahli Parlimen Bukit Mertajam, YB Steven Sim Chee Keong sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil Communication & Citizen Empowerment bagi membantu Unit Komunikasi Ketua Menteri dan agensi komunikasi lain untuk merancang serta melancarkan kempen komunikasi agar penyampaian maklumat lebih berkesan di peringkat akar umbi sebagai langkah untuk meningkatkan kesedaran serta memerangi perang terhadap COVID-19 ini.

Serentak itu, EXCO juga turut meneliti maklum balas berhubung kesan serta impak yang akan diterima ketika pelaksanaan perintah ini. Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan pakej rangsangan sebelum ini dan Kerajaan Negeri juga sudah mengemukakan senarai projek yang akan dilaksanakan di bawah pakej berkenaan tetapi buat masa ini, Kerajaan Negeri ingin mengumumkan bahawa bajet tambahan berjumlah RM20 juta akan diperuntukkan sebagai pemberian insentif tertentu bagi membantu dan mengurangkan beban rakyat khusus kepada para peniaga dan penjaja kecil serta semua pihak yang terjejas daripada COVID-19. Hand sanitizer turut akan diedarkan dalam masa terdekat.

Insentif ini mungkin kecil tetapi inilah salah satu cara Kerajaan Negeri menyampaikan mesej bahawa kami sentiasa bersama-sama rakyat yang menerima impak daripada wabak ini. Kita perlu bersatu dan bekerjasama untuk melihat hasil serta impak tersebut.

Penang Lawan COVID-19!