Saya berada di pusat penamaan Seri Delima pagi ini bersama dengan calon Pakatan Harapan, Connie Tan, dan saya terfikir mengenai kali pertama saya menyertai politik kira-kira enam dekad yang lepas.
Pasukan sokongan penamaan Connie Tan adalah lebih besar berbanding dengan pasukan sokongan penamaan saya semasa saya bertanding buat pertama kali dalam pilihan raya parlimen kerusi Bandar Melaka pada tahun 1969, ada beberapa ratus orang pagi ini berbanding dengan hanya beberapa puluh yang bersama saya di Melaka pada tahun 1969.
Saya nampak banyak wajah-wajah muda, menunjukkan harapan dan visi mereka untuk sebuah Pulau Pinang dan Malaysia yang lebih baik.
Semasa saya mengambil keputusan untuk menyertai politik pada tahun 1965 ketika mana saya berusia 24 tahun, bertentangan dengan nasihat rakan-rakan dan ahli-ahli keluarga, dengan meninggalkan peluang kerjaya dengan pendapatan empat angka untuk seorang yang tidak ada ijazah universiti, saya hanya didorong oleh idealisme ketika itu – untuk mengejar Impian Malaysia.
Kami mahukan kebebasan, keadilan, dan kesaksamaan dan kami mahukan sebuah masyarakat Malaysia yang bersatu padu dari kepelbagaian kaum, bahasa, agama, dan budaya kita, seperti yang saya nyatakan dalam perbahasan awam saya dengan Profesor Naguib Al-Attas pada bulan November 1968 mengenai budaya Malaysia.
Melihat kepada golongan muda hari ini, saya terfikir sama ada enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini akan menunjukkan satu gelombang baharu, bukannya gelombang hijau, sebaliknya gelombang golongan muda, supaya legasi yang akan diwarisi anak-anak dan cucu-cucu kita bukanlah sebuah Malaysia yang gagal, berpecah belah, dan korup, sebaliknya sebuah Malaysia yang akan bangkit semula selepas 12 Ogos 2023 untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, sama ada dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, sosial, sukan, atau hiburan, mencapai lebih dari jangkaan dunia terhadapnya.
Kita mahu menang semula dalam Piala Thomas, mencapai kecemerlangan dalam sukan Olimpik dan Paralimpik, dan bukan sahaja memenangi anugerah Oscar, tetapi juga anugerah Nobel.
Mungkinkah untuk kita capai semua ini?
Singapura hebat pada hari ini kerana rakyat Malaysia.
Kita tidak mahu terjadinya Diaspora Malaysia kedua selepas di mana kira-kira dua juta rakyat Malaysia tersebar ke seluruh dunia dalam Diaspora Malaysia pertama untuk menjadikan negara lain yang hebat.
Kita mahu rakyat Malaysia, tidak kiralah kaum, agama, atau dari kawasan mana sekalipun, untuk kekal di Malaysia dan berusaha bersama membangkitkan Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, mencapai lebih dari jangkaan dunia terhadapnya.
Dalam melancarkan Ekonomi Madani pada hari Khamis, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyenaraikan visi ekonominya untuk negara yang merangkumi beberapa perkara yang menonjol seperti berikut:
- Menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dari segi kadar keluaran dalam negara kasar. Malaysia buat masa ini berada di tempat ke-35.
- Berada dalam kedudukan 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD. Kita sedang berada di tempat ke-27.
- Tempat 25 ke atas dalam Indeks Pembangunan Manusia PBB. Tempat semasa adalah ke-62.
- Tempat 25 ke atas dalam Indeks Persepsi Rasuah. Tempat semasa adalah ke-61.
Saya sendiri percaya bahawa ada beberapa perkara yang menonjol dalam Ekonomi Madani yang tidak disertakan di sini, tetapi persoalan yang penting sekarang adalah sama ada Malaysia boleh ditetapkan semula hala tujunya dan dikembalikan kepada prinsip-prinsip asal pembinaan sebuah negara Malaysia yang majmuk yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan (termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein, yang juga merupakan Presiden UMNO) negara ke dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, Islam sebagai agama rasmi dan kebebasan beragama untuk kepercayaan yang lain, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pemeliharaan serta pengayaan bahasa-bahasa lain, kedudukan khas orang Melayu dan Orang Asal Sabah dan Sarawak untuk menghapuskan kemiskinan dan kemunduruan serta kepentingan sah komuniti-komuniti lain, tadbir urus yang baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, kerajaan yang bersih dan jujur, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, pengakhiran segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan dalam negara, sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan sosial yang bertaraf dunia, dan perpaduan, persefahaman, dan keharmonian dari kepelbagaian masyarakat majmuk berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.
Dengan visi-visi Ekonomi Madani ini, Anwar telah meletakkan negara kita dalam hala tuju untuk bangkit semula menjadi sebuah negara hebat yang berjaya mencapai lebih dari apa yang dijangkakan darinya dan bukannya terus ditinggalkan di belakang negara-negara lain seperti dalam beberapa dekad yang lepas. Kita telah pun ditinggalkan di belakang Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong, Vietnam; adakah kita bakal ditinggalkan di belakang Indonesia, China, dan India, atau lebih buruk lagi, menerima nasib sebagai sebuah negara yang gagal dan berpecah belah seperti Sri Lanka?
Perikatan Nasional tidak ada sebarang agenda untuk menjadikan Malaysia hebat sekali lagi.
Kerana inilah enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini amat penting – kerana ia merupakan satu peluang sekali dalam seabad untuk menentukan sama ada Malaysia akan bangkit semula menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia atau terus merosot menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup.
Saya sudah bersara dari politik barisan hadapan – dari pimpinan politik DAP mahupun Pakatan Harapan. Saya menyokong penuh DAP memandangkan pimpinan DAP di bawah Anthony Loke sedang bergerak dalam hala tuju yang betul.
Tetapi, seseorang itu tidak mungkin dapat bersara sepenuhnya dari politik, melainkan kita meninggalkan dunia ini, kerana politik memberikan kesan kepada setiap aspek kehidupan hari kita.
Saya tidak merancang untuk memutuskan hubungan saya dengan dunia dan saya telah memikirkan rancangan pasca-persaraan saya – mengenai peranan yang dapat dimainkan oleh Pulau Pinang di Malaysia.
Pulau Pinang hari ini selepas ditadbir Pakatan Harapan sejak 2008 sangat berbeza dengan Pulau Pinang pada era di mana seorang Perdana Menteri telah menggelar negeri ini sebagai “Darul Sampah”.
Negeri ini telah memenangi anugerah antarabangsa dan pengiktirafan untuk makanan, pantai, alam semula jadi, dan warisan bersejarahnya. Ramai yang menyenaraikan Pulau Pinang sebagai Bandar Mesti Lawat.
Pada tahun 2008, George Town diisytiharkan sebagai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan pada tahun 2021 Bukit Pulau Pinang diisytiharkan sebagai Rizab Biosfera UNESCO.
Tetapi, Pulau Pinang boleh capai banyak lagi.
Saya percaya begini.
Pulau Pinang perlu menjadi negeri barisan hadapan untuk membolehkan Malaysia menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Inilah cabaran terbesar untuk Pulau Pinang dan malaysia.
Cabaran terbesar di peringkat antarabangsa pada hari ini adalah untuk memastikan yang China dan Amerika Syarikat tidak berperang.
Terdapat juga masalah-masalah global seperti perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar, ancaman keselamatan siber dan digital, era kecerdasan buatan (AI), dan pelbagai masalah-masalah baharu yang mana rakyat Pulau Pinang dan Malaysia boleh berikan sumbangan dengan perspektif mereka.
Inilah sesetengah kegusaran saya yang sepatutnya juga menjadi kegusaran lebih ramai rakyat di Pulau Pinang dan Malaysia.