Saya dengan tangan terbuka mengalu-alukan pengumuman Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, bahawa ulang tahun ke-75 parti itu akan diadakan di Pulau Pinang tahun depan.
Pertama, kehadiran ribuan ahli PAS ke Pulau Pinang akan menggiatkan sektor pelancongan dan membawa limpahan ekonomi kepada para peniaga tempatan.
Kedua, ini peluang terbaik untuk PAS menilai sendiri bagaimana kerajaan negeri yang diterajui DAP membangunkan Pulau Pinang dengan lebih cekap, telus dan berkesan. Ahli PAS boleh membandingkan sendiri antara slogan politik dengan hasil pembangunan yang nyata.
Ketiga, para perwakilan PAS juga berpeluang menyaksikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Pulau Pinang hidup bekerjasama dan saling menghormati. Inilah bukti kejayaan sebuah negeri majmuk yang maju tanpa perlu membakar sentimen perkauman atau agama.
Justeru, saya ucapkan selamat datang kepada PAS. Biarlah mereka ‘gegar’ Pulau Pinang, kerana akhirnya yang akan lebih terserlah ialah bukti nyata kejayaan DAP mentadbir sebuah negeri dengan lebih baik, adil dan makmur untuk semua rakyat.