Skip to content

‘Pusat Panggilan Covid-19’ inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang mula beroperasi pada 15 September 2021, Rabu

‘Pusat Panggilan COVID-19 Kerajaan Negeri Pulau Pinang’ untuk menambah baik pengurusan masa tindak balas atau ‘response time’ bagi pemantauan pesakit COVID-19 dan kontak rapat akan mula beroperasi pada 15 September (Rabu) ini.

Pengerusi Pasukan Bertindak Kecemasan Negeri atau ‘State Emergency Response Team’ yang diketuai oleh YB Tuan Phee Boon Poh merangkap Exco Alam Sekitar dan Kebajikan mengesahkan laporan hasil mesyuarat tersebut yang berlangsung pada pagi tadi.

Inisiatif tersebut merupakan tambahan daripada talian sedia ada iaitu Pusat Panggilan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) atau CAC Call Centre; Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 Pulau Pinang atau Penang Covid -19 Unified Command Centre (PUCC) dan Careline Gabungan PgCare atau PgCare Alliance kini.

Sebagai permulaan, sebanyak lima (5) talian akan beroperasi di pusat panggilan yang bakal ditempatkan dekat Tingkat 24, Menara Komtar. Ia akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad. Malah, waktu operasi akan dilanjutkan sehingga 10 malam sekiranya diperlukan. Nombor talian khas tiga (3) digit juga akan diwujudkan dan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Pengoperasian ‘Pusat Panggilan COVID-19 Kerajaan Negeri’ dalam empat bahasa utama (Bahasa Kebangsaan, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin/Hokkien dan Bahasa Tamil) tersebut bakal diketuai oleh Pegawai Psikologi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan dibantu oleh Pegawai Psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Malah, penubuhan pusat operasi berkaitan turut memperoleh kerjasama penuh daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Pulau Pinang, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang dan lain-lain terlibat.

Umumnya, maklumat senarai pesakit-pesakit dikuarantin akan dibekalkan oleh JKNPP, dan ‘Pusat Panggilan COVID-19 Kerajaan Negeri’ akan menyelaras keperluan mereka yang didapati positif, menjalani kuarantin di rumah serta lain-lain berkaitan.