Skip to content

PwC PERUNDING BAGI PENYEDIAAN KERTAS PUTIH, RANGKA KERJA STRATEGIK (BLUEPRINT) DAN PELAN TINDAKAN PIFC

Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang atau Penang International Financial Centre (PIFC) secara rasmi bersetuju melantik PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn. Bhd. (PwC) sebagai perunding bagi penyediaan Kertas Putih, Rangka Kerja Strategik (Blueprint) dan Pelan Tindakan PIFC. Surat pelantikan telah diserahkan kepada PwC pada 15 Jun 2026, dan syarikat tersebut telah mengembalikan Surat Setuju Terima (SST) sebagai persetujuan terhadap semua terma dan syarat pelantikan.

Menerusi lantikan tersebut. PwC diberi tempoh keseluruhan 20 minggu untuk menyiapkan tiga (3) dokumen utama yang bakal menjadi asas penubuhan dan pembangunan PIFC iaitu:-

(i) Kertas Putih PIFC yang memperincikan rasional strategik, rangka kerja kawal selia serta menentukan hala tuju ke arah penubuhan PIFC;

(ii) Rangka Kerja Strategik (Blueprint) yang merangkumi struktur tadbir urus, kesediaan institusi, keperluan infrastruktur dan insentif serta struktur tumpuan perkhidmatan kewangan yang akan membentuk PIFC; dan

(iii) Pelan Tindakan PIFC yang bakal memperinci pelaksanaan secara berperingkat, termasuk tindakan, tanggungjawab, petunjuk prestasi utama (KPI) serta struktur akauntabiliti bagi mengoperasikan PIFC.

Dalam mesyuarat terkini pada 17 Julai 2026, PwC telah membentangkan laporan kemajuan penyediaan Kertas Putih PIFC untuk semakan pihak Jawatankuasa. Malah, berdasarkan dapatan awal daripada kajian serta pembentangan PwC, rasional utama penubuhan PIFC adalah dijajar selaras dengan teras ekonomi Pulau Pinang iaitu rantaian elektrik dan elektronik (E&E) global. Kelebihan ini secara tidak langsung bakal membuka peluang kepada negeri ini untuk terus memacu inovasi dalam industri berkaitan, sekaligus menyuntik impak kepada pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang secara keseluruhan.

Dalam pada itu, bagi memastikan pembangunan PIFC dilaksanakan secara tersusun dan telus, PwC turut dimohon untuk mengadakan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk rakan strategik, pemain industri tempatan serta antarabangsa, pihak berkuasa kawal selia, ahli akademik dan semua pemegang taruh berkaitan bagi memastikan cadangan yang dibangunkan adalah bersifat menyeluruh, berdaya laksana serta selaras dengan strategi pembangunan ekosistem teknologi negara.

Kerajaan Negeri menghargai komitmen semua ahli Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas PIFC, rakan strategik dan pihak-pihak yang terus memberikan kerjasama serta sokongan dalam memastikan semua ranka kerja dasar PIFC dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan. Kerajaan Negeri yakin bahawa usaha ini akan menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem kewangan berteraskan teknologi bagi membolehkan industri Wilayah Utara lebih inovatif, berdaya saing dan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang serta terus melonjakkan lagi ekonomi negara pada masa hadapan.