Skip to content

Rakyat bertambah miskin, GST rompak RM40 bilion tahun 2017

GST telah menjadikan ekonomi kita bercelaru. Hari ini rakyat menderita kerana kenaikan harga barangan. Kerajaan telah melakukan kesilapan besar dengan melaksanakan GST 6% terhadap barang & perkhidmatan yang dibeli oleh pelanggan. Cukai ini boleh dianggap sebagai penyebab utama kenaikan harga barangan.

Kerajaan telah memberi pelbagai alasan untuk cukai GST ini. Tetapi, pada realitinya harga barang-barang telah naik secara mendadak. Kerajaan yang memberi jaminan harga tidak dapat mengawal keadaan sekarang. Kerajaan gagal mengawal penularan inflasi sejak GST diperkenalkan pada 1 April 2015.

Selepas setahun setengah pelaksanaan GST, rakyat telah merasakan cubitan yang cukup pedih. Hari ini, kenaikan harga menjadi rungutan utama di mana-mana jua. Tetapi kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mempedulikan rintihan rakyat.

Beliau dan kelurganya masih berbelanja mewah di dalam dan di luar negara. Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang lain juga turut mencontohi jejak langkah pemimpin utama mereka. Akhirnya, rakyat telah menjadi mangsa kezaliman kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

Hasil kutipan GST bagi tempoh 1 April 2015 hingga 31 Disember 2015 adalah sebanyak RM27.012 bilion. Pada tahun 2016 kutipan GST adalah sebanyak RM38.5 bilion. Anggaran kutipan bagi tahun 2017 pula adalah RM40 bilion. Setiap tahun kutipan GST oleh kerajaan Persekutuan meningkat.

Pada hemat saya wang dari kocek rakyat disapu habis oleh kerajaan melalui GST. Rakyat harus tumbangkan kerajaan yang zalim ini melalui peti undi dalam PRU14. Inilah satu-satunya cara untuk menyelamatkan rakyat dan negara ini.