Rakyat di seluruh Negara telah dipaparkan dengan berita-berita yang sangat negatif. Bermula dari skandal 1MDB, isu “derma politik” berjumlah RM2.6 billion yang dideposit ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak, siasatan dan penahanan pegawai-pegawai penguatkuasa yang terlibat dalam siasatan skandal 1MDB telah menimbulkan banyak keraguan dan ketidakpercayaan seluruh rakyat Malaysia kepada pihak Kerajaan.
Semalam kita dikejutkan dengan penahanan Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang ditahan semula di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang membenarkan penahanan sehingga 28 hari tanpa perbicaraan.
Saya juga merujuk kepada berita-berita tempatan semalam yang mengulas kenyataan peguamnya, Matthias Chang bahawa tangkapan yang kedua ini adalah di bawah Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan atas kesalahan mengancam keselamatan negara pada kira-kira jam 4.40 petang semalam.
Seksyen 124K dan 124L masing-masing mengenai sabotaj dan cuba untuk mensabotaj negara.
Saya juga ingin merujukan kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri di Parlimen yang memberi jaminan bahawa SOSMA dan juga POTA tidak digunakan sebagai senjata politik dan juga kenyataan Timbalan Menterinya bahawa SOSMA bukan duplikasi kepada ISA.
Saya juga ingin menggulangi kenyataan Menteri Datuk Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri yang pernah berkata, “Tiada satu perkataan di dalam akta yang dicadangkan ini membenarkan ia digunakan ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang berbeza ideologi politiknya.”
Oleh yang demikian, DAPSY dengan sekeras-kerasnya membantah penangkapan dan penahanan semula Datuk Khairuddin yang dilihat semata-mata untuk menutup mulut seorang pemberi maklumat dan juga berharap agar SOSMA tidak digunakan dan dijadikan sebagai alat pihak berkuasa.
Pada masa yang sama, pihak kami juga ingin mengetahui apa yang telah terjadi dan berlaku kepada siasatan terhadap keseluruhan kes 1MDB yang melibatkan berbilion wang ringgit di mana sehingga kini masih tiada sebarang jawapan ke atas isu lanjutan ini.
Oleh yang demikian pihak DAPSY menyeru agar pihak berkuasa dan polis agar membuat siasatan yang rapi tanpa ketakutan dan memihak (fear or favour) secepat mungkin supaya keyakinan rakyat kepada pihak berkuasa dan polis dapat dipulihkan.