Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin ternyata salah apabila mengatakan bahawa perubahan kerajaan pada ketika ini akan lebih membahayakan negara, dengan alasan kesan negatif terhadap Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan program vaksinasi. 32 juta rakyat Malaysia yang terjejas oleh kemelesetan ekonomi dan mereka yang dijangkiti atau mati akibat COVID-19 tidak akan bersetuju bahawa Mahiaddin adalah jalan keluar kepada masalah tetapi sebenarnya merupakan masalah yang perlu dibuang agar rakyat Malaysia dapat mengharungi krisis ini.
Walaupun terdapat Proklamasi Darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan bersiri (PKP), pandemik COVID-19 telah menjadi semakin buruk dengan jangkitan harian mencecah 20,889 kes pada 6 Ogos dan mencatatkan 257 kematian pada 4 Ogos dengan jumlah kumulatif 1,224,595 kes dan jumlah angka kematian sebanyak 10,179. Mahiaddin bertanggungjawab penuh atas kegagalan keseluruhan kerajaan ini yang telah memusnahkan nyawa dan mata pencarian begitu ramai rakyat Malaysia.
Perolehan vaksin yang lebih awal dan cepat berkemungkinan dapat menyelamatkan banyak nyawa. Usaha keseluruhan masyarakat bersama pembangkang dan masyarakat sivil juga berkemungkinan dapat menghasilkan perubahan dalam pelaksanaan program imunisasi yang cepat dan lancar. Malangnya, kita menyaksikan imuniti kelompok melalui suntikan vaksin dan jangkitan. Namun tidak seorang pun Menteri meletakkan jawatan kerana peningkatan jangkitan dan kematian.
Sekiranya 8 pakej rangsangan ekonomi PN bernilai RM530 bilion dan Belanjawan terbesar dalam sejarah berjumlah RM322.5 bilion untuk 2021, tidak mampu mengeluarkan negara daripada kemelesetan ekonomi sekarang, apa yang dapat dilakukan oleh Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk menghasilkan keputusan yang berbeza. Halangan terbesar adalah keengganan untuk berbelanja dengan hanya RM83 bilion suntikan dana langsung daripada RM530 bilion pakej rangsangan tersebut. Apa yang boleh dilakukan dengan RM83 bilion berbanding kerugian ekonomi lebih daripada RM500 bilion sejak PKP pertama dilaksanakan tahun lalu?
Selagi kerajaan berpegang pada bantuan “one-off”, gagal untuk membuka semula ekonomi atau gagal menghapuskan perbezaan yang direka antara perniagaan perlu dan tidak perlu, enggan memansuhkan faedah bagi moratorium pinjaman bank 6 bulan dan menolak suntikan tambahan RM45 bilion dana langsung sehingga akhir tahun, Mahiaddin dan PPN pasti akan gagal.
Kemerosotan ekonomi yang dihadapi oleh isi rumah biasa di Malaysia terbukti dengan laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Laporan Insiden Kemiskinan, Malaysia, 2020 oleh Jabatan Perangkaan. 20% isi rumah daripada kumpulan M40 dengan pendapatan antara RM4,850 dan RM10,959 telah jatuh ke kumpulan B40. Isi rumah dalam kumpulan T20 juga terkesan dengan wabak Covid-19 di mana 12.8% T20 telah beralih ke kumpulan M40.
Jumlah isi rumah miskin meningkat kepada 639,800 pada tahun 2020, meningkat daripada 405,400 pada tahun 2019. Insiden kemiskinan mutlak telah meningkat, daripada 5.6% pada tahun 2019 kepada 8.4% pada tahun 2020. Insiden kemiskinan tegar dianggarkan meningkat daripada 0.4% (2019) melibatkan 27,200 isi rumah kepada 1% melibatkan 78,000 isi rumah.
Purata pendapatan bulanan kasar isi rumah turut menurun sebanyak 10.3% kepada RM7,089 berbanding RM7,901 pada tahun 2019, pendapatan penengah telah menurun sebanyak 11.3% kepada RM5,209 daripada RM5,873. Rakyat Malaysia telah menjadi semakin miskin dengan bantuan kewangan yang lemah diberikan yang gagal menahan penurunan pendapatan isi rumah bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan.
Petunjuk utama Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan IHS Markit Malaysia, berada pada tahap 40.1 yang merisaukan pada Julai 2021, hampir tidak berubah daripada paras terendah 39.9 pada bulan Jun 2021. Prestasi Malaysia bahkan lebih rendah daripada PMI 44.6 pada bulan Julai untuk seluruh ASEAN. Namun Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin ingin terus menipu rakyat bahawa dia mempunyai rancangan untuk memulihkan ekonomi apabila tidak ada apa-apa yang dilakukannya selama 18 bulan ini yang berhasil.
Rakyat sudah tidak tahan lagi ditipu dengan kepalsuan seperti itu. Mahiaddin perlu berhenti menipu rakyat dan negara sama seperti dia menipu Yang DiPertuan Agong, negara dan rakyat bahawa dia masih mempunyai sokongan daripada majoriti Ahli Parlimen, ketika jelas bahawa terdapat sekurang-kurangnya 13 Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan daripadanya. Mahiaddin dan Kerajaan PN yang gagal perlu disingkirkan kerana gagal menangani krisis COVID-19 dan ekonomi.