Rakyat Malaysia perlu ada visi masa depan untuk kita bangkit semula menjadi sebuah negara hebat dunia, dan bukannya bertelingkah dengan pertempuran masa lampau sebelum Kemerdekaan pada tahun 1957 mengenai sama ada Malaysia adalah sebuah negara mono-etnik atau majmuk.
Hakikat Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dan satu contoh “perpaduan dari kepelbagaian” dapat dilihat dengan jelas dalam Perlembagaan Malaysia, – buat pertama kali pada tahun 1957, dan kemudiannya dengan lebih jelas pada tahun 1963 apabila Malaysia menggabungkan Sabah dan Sarawak – Rukun Negara, dan juga Wawasan 2020 dengan sembilan cabaran strategiknya.
Kita ada banyak kesilapan dalam proses pembinaan negara bangsa yang dapat dilihat dari seorang Ahli Parlimen yang merupakan seorang pemegang ijazah doktor falsafah yang masih gagal untuk membezakan di antara perkara yang benar dan yang salah, gagal untuk membezakan di antara kebenaran dan berita palsu, mengubah nama keluarga Perdana Menteri pertama Singapura kepada “Lim” Kuan Yew, dan menuduh saya sebagai kononnya sepupu Kuan Yew dan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Kita sudah sampai ke suatu tahap di mana apabila Parlimen bersidang, isu perpecahan dan polarisasi 2R – perkauman dan keagamaan – semakin ditingkatkan dan bukannya dikurangkan.
Kita perlu cari cara untuk melawan polarisasi isu 2R ini, dan juga cari cara untuk kukuhkan perpaduan nasional serta cara untuk membina kestabilan politik supaya Malaysia dapat bangkit semula menjadi sebuah contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara kaum, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Malaysia adalah salah satu negara terbaik di dunia untuk menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara kaum, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Melainkan kita semua mempunyai visi bersama untuk masa depan, kita tidak akan dapat keluar dari hala tuju sebagai sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik dalam dekad-dekad yang akan datang.
“Kerajaan Perpaduan” Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim, telah mengejutkan ramai pihak dan telah menyaksikan ulang tahun pertamanya beberapa hari yang lepas.
Ramai yang jangkakan kerajaan perpaduan Anwar untuk tidak bertahan selama setahun, tetapi enam pilihan raya negeri pada bulan Ogos lepas telah menandakan tahap tertinggi sokongan terhadap “gelombang hijau” yang mula disaksikan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada bulan November tahun lepas.
Selepas enam pilihan raya negeri pada bulan Ogos, di mana Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk oleh Bersatu dan PAS gagal untuk merampas Selangor atau Negeri Sembilan, sokongan Bersatu dan PAS terus merudum.
Pilihan raya kecil Kemaman sepatutnya menjadi kayu ukur paras tertinggi baharu “gelombang hijau” PN, tetapi kini PRK ini hanya akan mengukur berapa rendah sokongan terhadap PN telah jatuh memandangkan Bersatu dan PAS kini berada dalam masalah besar.
Apabila anda perlu bersaing demi kehidupan politik anda, keutamaan yang berbeza mula muncul kelihatan.
Tetapi apabila adanya kestabilan politik, masanya telah tiba untuk Anwar memenuhi janji-janji reformasi dan perubahannya.
Akan ada semakin banyak kritikan yang mengatakan kerajaan perpaduan Anwar gagal untuk memenuhi reformasi yang dijanjikan.
Salah satu perkara yang saya pelajari dari kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah reformasi tidak boleh dibuat semalaman.
Saya menggesa kepada pengkritik kerajaan perpaduan Anwar untuk memberikan Anwar dan kerajaannya tiga ke empat tahun kerana masa untuk menilai sama ada mereka sudah gagal untuk mengotakan janji reformasi ini adalah dalam Pilihan Raya Umum ke-16 pada tahun 2026 atau 2027.
Saya sendiri tidak gembira dengan banyak perkara yang sudah terjadi, tetapi dengan adanya semula kestabilan politik, Anwar ada tiga ke empat tahun untuk memenuhi janji-janji reformasinya.
Sekiranya Anwar gagal untuk memenuhi janjinya, baik dari segi doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, usaha melawan rasuah, tadbir urus yang baik, reformasi pendidikan supaya institusi pendidikan Malaysia dapat melahirkan cendekiawan yang cemerlang dan bukannya mereka yang buta media, hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan beragama, ada kemungkinan yang mereka akan ditolak oleh para pengundi.
Kita berada di titik yang sangat kritikal untuk sejarah negara.
Bolehkah kita bangkit semula untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia atau adakah kita memang terikat dengan nasib sebagai sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik?
Perkara ini akan ditentukan dalam tiga ke empat tahun yang akan datang.