Skip to content

Rakyat Malaysia wajar mempertimbangkan untuk memberi semua “telur” kepada Wee Ka Siong dan MCA dengan mengembalikan sifar calon MCA ke parlimen pada pilihan raya akan datang

Saya mengucapkan tahniah kepada Malaysian Chinese Association (MCA) atas sambutan ulang tahun ke-72 dan mesyuarat agong tahunan ke-67 mereka yang telah diadakan pada hujung minggu yang lepas.

Pihak media telah melaporkan bahawa presiden MCA, Wee Ka Siong, telah merujuk kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam ucapan beliau.

Antara lain, beliau berkata bahawa kerajaan PH “sibuk menjual aset-aset negara dan sering menunding jari kepada kerajaan BN terdahulu” dan “langsung tiada perancangan yang baik untuk membangunkan ekonomi negara”.

Kenyataan tersebut amat menghiburkan kerana nampaknya Wee Ka Siong perlu menjadikan PH sebagai kambing korban untuk meraih sokongan dalam mesyuarat agong parti beliau. Sememangnya, ini adalah amat serupa dengan propaganda “ini semua salah DAP” yang sering kali digunakan oleh sekutu MCA dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Adalah benar bahawa kerajaan PH menghadapi pelbagai cabaran sepanjang 22 bulan pemerintahan kami. Antara sebab utama adalah kerana terdapat pemimpin-pemimpin politik dalam kalangan PH sendiri yang menyekat agenda reformasi dan sibuk merancang untuk Langkah Sheraton. Sekarang, kebanyakan pemimpin ini merupakan rakan sekerja Wee Ka Siong dalam kerajaan PN.

Namun, Wee Ka Siong dan MCA tidak dapat menafikan kerosakan ekonomi dan politik yang telah disebabkan oleh Najib Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terdahulu. Antara masalah utama ialah skandal 1MDB yang berlaku sewaktu MCA menjadi sebahagian daripada kerajaan Najib Razak.

Wee Ka Siong dan MCA mungkin cenderung meminta rakyat Malaysia untuk tidak mengungkitkan perkara-perkara lama seperti 1MDB, tetapi ini tidak mengubah hakikat bahawa rakyat Malaysia masih perlu menampung beban hutang 1MDB sebanyak RM50.4 billion sehingga tahun 2038.

Kerajaan PH pada tahun 2018 mewarisi masalah-masalah seperti ini. Walaubagaimanapun, kerajaan PH masih berjaya melaksanakan beberapa pembaharuan dan dasar yang progresif seperti penghapusan cukai GST, penurunan harga tol sebanyak 18%, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), Malaysia@Kerja, dan Industri4.0.

Sebaliknya, Wee Ka Siong dan MCA wajar merenung kembali pretasi kerajaan PN sepanjang satu tahun yang lalu. Pertama sekali, kerajaan PN ialah kerajaan minoriti yang tidak mendapat mandat oleh rakyat melalui pilihan raya untuk mentadbir. Kerajaan PN mungkin satu-satunya kerajaan di dunia yang menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk menggantung parlimen dan demokrasi di negara.

Perubahan yang tidak menentu terhadap SOP dan strategi pencegahan Covid-19 telah menjadikan Malaysia antara negara yang paling teruk terkesan oleh Covid-19 di peringkat ASEAN dari segi per capita. Sehingga hari ini, sektor perniagaan, terutamanya peniaga-peniaga kecil, masih menderita kerana kerajaan PN tiada hala tuju yang jelas.

Program Vaksinasi Negara untuk Covid-19 akhirnya telah bermula, tetapi Malaysia merupakan antara negara yang paling lambat di dunia dengan hanya 0.35 dos vaksin telah diberikan untuk setiap 100 orang. Ini bermakna Malaysia menduduki tangga ke 98 daripada 122 negara di peringkat global, menurut data vaksinasi yang terkini.

Kerajaan PN juga telah gagal melaksanakan program-program ringkas seperti 150,000 buah laptop yang dijanjikan untuk para pelajar. Ini telah menjejaskan pembelajaran ratusan ribu pelajar ketika sekolah-sekolah ditutup.

Dalam ucapan beliau, Wee Ka Siong juga menyeru kepada masyarakat Cina untuk memberi peluang kepada MCA dan jangan “meletakkan semula telur di dalam bakul yang sama”. Dengan ini, saya berpendapat bahawa rakyat rakyat Malaysia wajar mempertimbangkan untuk memberi semua “telur” kepada Wee Ka Siong dan MCA dengan mengembalikan sifar calon MCA ke parlimen pada pilihan raya akan datang.