Memang tidak boleh dipertikaikan bahawa rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura telah banyak menyumbang kepada ekonomi tempatan Johor kerana mereka membawa balik tukaran mata wang asing.
Saya juga perlu menegaskan bahawa, Kerajaan perlulah mempunyai sikap rasa bersyukur dan hormat kepada mereka.
Adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa mereka memilih untuk bekerja di Singapura adalah atas pilihan sendiri seperti yang didakwa oleh Semarang.
Saya berpendapat ADUN Semarang seharusnya turun ke padang sendiri melihat, menanya, merasai dan mengkaji betul-betul apa yang berlaku terhadap mereka dan liku hidup yang perlu mereka harungi.
Sebenarnya, ramai yang ditemuramah mengatakan mereka ulang-alik JB/Singapura setiap hari kerana tiada pilihan. Mereka terdesak dengan kos sara hidup yang terlalu mencabar dengan peluang pekerjaan yang tidak mampu menawarkan gaji yang cukup untuk keperluan harian mereka.
Ramai Sikap Ahli Dewan Negeri BN yang langsung tidak mengiktiraf pengorbanan dan sumbangan mereka menunjukkan BN merupakan kerajaan yang tidak perihatin, angkuh dan tidak memahami hati rakyat.
Saya berasa sangat kecewa dengan sikap mereka ini.
Saya ingin nak tanya kepada Kerajaan dan ahil-ahli dewan negeri BN :
Adakah sukar sangat untuk mereka menyuarakan ucapan terima kasih kepada mereka yang banyak menyumbang kepada Negara dan Johor?
Adakah kata-kata iktiraf begitu sukar dikeluarkan?
Mereka yang bekerja di Singapura dan membawa balik wang titik peluh sebenarnya bukan ingin meminta apa-apa yang tinggi melangit daripada kerajaan.
Semarang juga mengatakan bahawa ramai pekerja asing juga datang bekerja di Malaysia.
Selain tidak memberi sebarang galakan positif atau mengiktiraf rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, adalah tidak adil lagi untuk membandingkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dengan buruh asing yang datang ke Malaysia. Ini adalah seperti luka ditaruh garam.
Saya meminta agar Semarang meminta maaf dan tarik balik kenyataan yang saya rasa tidak menghormati mereka. Saya juga meminta kepada Menteri Besar Johor agar memperbetulkan sebarang hujah-hujah BN yang tidak memberi pengiktirafan kepada mereka yang bekerja di Singapura. Saya juga berharap MB akan mengucapakan rasa syukur dan terima kasih beliau semasa dalam ucapan pergulungannya nanti.
Akhirnya, saya ingin mengambil peluang sekali lagi untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang ulang-alik JB/Singapura setiap hari yang merangkumi Melayu, Cina, India dan sebagainya kerana banyak menyumbang kepada Negara dan Johor.