Skip to content

Rakyat tidak harus menjadi mangsa perselisihan politik yang berlaku

Pejabat Tabung Haji di Butterworth telah beroperasi lebih 30 tahun dengan memberikan pelbagai perkhidmatan berkaitan kepada masyarakat Islam di kawasan Bagan dan yang berdekatan. Namun malangnya pejabat tersebut dihentikan operasi pada bulan Jun 2020 tanpa sebarang sebab yang diberikan.

Adakah ianya satu kebetulan Pejabat Tabung Haji Butterworth yang ditutup itu berada dalam kawasan Parlimen mantan Menteri Kewangan ataupun satu kebetulan pejabat itu ditutup selepas Kerajaan Pakatan Harapan digantikan ekoran pengkhianatan mandat rakyat oleh bekas Ahli Parlimen Pakatan Harapan? Hakikatnya, semasa pentadbiran PH, tiada sebarang cadangan untuk menutup pejabat tersebut.

Ekoran itu, lebih 100 orang penduduk beragama Islam di Bagan telah menulis surat kepada saya memohon bantuan untuk meminta Lembaga Tabung Haji membuka semula pejabat di Butterworth itu. Mereka amat tidak berpuas hati bahawa mereka terpaksa pergi ke Kepala Batas atau tempat lain untuk mendapat kemudahan perkhidmatan. Rakyat tidak harus menjadi mangsa perselisihan politik yang berlaku, lebih-lebih lagi Tabung Haji adalah sebahagian perkhidmatan perlu untuk umat Islam.

Pada 25 Jun 2020, saya telah menulis surat kepada Lembaga Tabung Haji untuk membantah penutupan Pejabat Tabung Haji di Butterworth dan memohon agar pejabat itu dibuka semula bagi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat Islam setempat. Pada 17 Ogos 2020, saya telah menyusuli dengan membangkitkan isu yang sama di Parlimen di depan semua barisan Menteri termasuk YAB Perdana Menteri.

Saya difahamkan permintaan pembukaan semula pejabat Tabung Haji telah mendapat perhatian pihak atasan dan berita baik akan diumumkan nanti. Terima kasih kepada masyarakat Islam tempatan yang bersama dengan saya untuk menuntut perkhidmatan Tabung Haji disambung balik di Butterworth.

Selamat menyambut Awal Muharram 1442 Hijrah kepada umat Islam di Malaysia.

Sumber Gambar:

https://www.facebook.com/127235530639890/posts/3755390554491018/