Saya telah beberapa kali membangkitkan kepentingan agar parameter pengawasan kualiti udara Negara ditambah baik daripada PM10 kepada PM2.5. Dalam jawapan kepada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 Peringkat Jawatankuasa, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar telah memaklumkan bahawa Kerajaan telah merancang program pengawasan kualiti udara menggunakan perkhidmatan konsesi baru yang akan bermula pada tahun 2016 dengan mengambil cadangan daripada saya.
Begitu juga, Kerajaan bersedia untuk menambah stesen pengawasan kualiti udara automatic daripada 52 buah sedia ada kepada 65 buah stesen. Saya menyambut baik kesediaan Kerajaan dalam dua perkara ini walaupun seharusnya ia telah dilakukan lebih awal ekoran daripada krisis jerebu yang teruk sering melanda Negara kita.
Saya juga ingin menggesa agensi Kerajaan yang lain seperti MKN, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan lain-lain kementerian yang terlibat untuk turut sama mengagihkan topeng muka N95 secara percuma kepada penduduk di kawasan yang terjejas apabila IPU mencecah kepada paras 200.
Timbalan Menteri juga menyatakan bacaan IPU ini perlu dihantar ke pusat Jabatan Alam Sekitar untuk menentukan kesahihan data itu sebelum ianya dikeluarkan. Namun begitu, saya ingin mencadangkan agar proses ini tetap perlu dikaji semula dan dipermudahkan kerana apabila bacaan IPU mencecah paras sangat bahaya, Jawatankuasa Bencana Daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah boleh mengeluarkan arahan dengan segera untuk menutup sekolah.