Projek Hi Speed Rail (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura yang bernilai lebih RM40 bilion (S$15.5 billion) hanya akan membesarkan lagi jurang miskin kaya dikalangan rakyat dan wilayah di Malaysia.
Sementara itu, saya menyambut baik cadangan Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan agar projek mega yang dicadangkan pada tahun 2013 itu tidak diteruskan.
Jika projek ini diteruskan, wilayah Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak akan terus ketinggalan 20 tahun kebelakang. Ia akan wujudkan ketidakseimbangan pertumbuhan ekonomi antara semenanjung dan Malaysia Timur.
Cadangan kerajaan BN yang dipersetujui dengan kerajaan Singapura itu mencerminkan BN tidak mementingkan Sabah dan Sarawak tambahan pula tambang bagi keretapi berkelajuan tinggi itu tidak mesra pengguna.
Hanya yang kaya dan berduit sahaja mampu gunakan perkhidmatan ini.
Saya menyokong supaya peruntukan bagi pembinaan Hi Speed Rail itu diberikan untuk membangunkan dan menambahbaik sistem jaringan keretapi di Sabah dan Sarawak.
Hingga sekarang, Sarawak tak ada keretapi. Di Sabah pula hanya ada landasan keretapi tak sampai 200 kilometer pun. Apa salahnya jika kerajaan bangunkan sistem keretapi di Sabah dan Sarawak yang hubungkan antara bandar ke bandar.
Saya percaya dengan adanya jaringan keretapi dari Sarawak ke Sabah, ia akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri dan rakyat sekaliguskan merapatkan jurang pendapatan rakyat dengan lebih baik.
Adakah kerajaan ada agenda tersembunyi hanya tumpukan projek di Semenanjung?
Projek keretapi berkelajuan tinggi ini adalah cadangan YTL Corporation Berhad pada tahun 2006 yang merupakan pengendali KLIA Ekspres.
Pada 19 Februari 2013, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Najib Razak secara rasmi mencapai kata sepakat untuk melaksanakan projek tersebut.