Skip to content

Reformasi Malaysia: Gabungan sistem negara berkebajikan dan pasaran sosial yang menjaga kepentingan rakyat

Pendirian DAPSY

1. Suasana pasca-PRU14

Selepas mendapat mandat rakyat dalam pilihanraya umum ke-14 pada 9 Mei 2018, pimpinan Pakatan Rakyat bersama para ahli parti-parti gabungan berusaha gigih untuk melaksanakan reformasi yang dijanjikan. Tawaran Pakatan Harapan kepada rakyat melalui manifesto kita semakin diterima baik oleh khalayak ramai.

Namun kita sedar politik kotor seperti caci-maki perkauman, angan-angan kleptokrasi dan ekstremisme agama oleh pihak lawan tetap mereka teruskan untuk menggagalkan usaha reformasi kita. Mereka takut dengan janji Pakatan Harapan bagi memulihkan ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan sebagainya.

  • Kita telah berjanji untuk mengutamakan kebajikan rakyat.
  • Kita telah beriltizam untuk kemakmuran bersama.
  • Kita telah bersumpah untuk menegakkan keadilan dan solidariti demi perpaduan semua rakyat.

Inilah prinsip keadilan sosial. Ia merupakan kesinambungan perjuangan sosialisme yang demokratik serta berasaskan nilai-nilai tempatan. Inilah intipati sosialisme yang bersifat gotong-royong. Ia berasaskan semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Ia berpegang kepada prinsip yang kaya membantu yang miskin, yang kuat membela yang lemah. Ia mengutamakan golongan marhaen. Ia merupakan kebiasaan yang menjadi amalan di bumi Malaysia sejak zaman-berzaman.

2. Kesan pemerintahan BN

Selepas lebih setengah abad diperintah oleh Barisan Nasional, dan khususnya sejak 10 tahun lalu di bawah rejim kleptokrat, kita kini mewarisi kepimpinan negara yang berada dalam keadaan di mana jurang kaya dan miskin kian melebar.

Sejak lebih sedekad lalu, keadaan ekonomi kita, terutamanya kos kehidupan dan sara hidup keluarga semakin teruk, adalah kerana wujudnya pakatan di antara kapitalis kroni yang tidak bermoral dan elit penguasa yang tamak. Hutang RM1 trillion yang menghambat kita hari ini berpunca daripada permainan licik bersama pemerintah-kapitalis kroni. Kerana itulah nilai ringgit serta kemampuan kewangan setiap rakyat Malaysia telah merudum teruk berbanding 10 atau 15 tahun yang lalu.

3. Pendirian DAPSY

Sayap Pemuda Sosialis DAP sentiasa komited dengan potensi dan janji-janji keadilan sosial. Ideologi DAP, iaitu sosial demokrasi, juga menjadi teras untuk menerima nilai-nilai sosialisme yang mengutamakan golongan marhaen, dan bukannya segelintir elit penguasa dan gergasi korporat. Tugas kita sebagai ahli politik ialah merapatkan janji-janji idealisme kita dengan hakikat semasa.

Kami di DAPSY berpendapat bahawa ekonomi hari ini memerlukan satu bentuk kerjasama yang adil di antara dunia perniagaan dan kerajaan untuk memastikan hasil yang terbaik yang dapat dinikmati oleh rakyat terbanyak. Malah, selain golongan B40, golongan di tengah iaitu M40 juga semakin terhimpit oleh tekanan ekonomi masa kini yang diwarisi daripada era BN.

DAPSY mempunyai pandangan yang sama dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di mana perlu ada hubungan yang baik di antara pemimpin kerajaan dan entiti perniagaan untuk memacu ekonomi dan seterusnya membantu memberdayakan rakyat.

Justeru, kami sependapat dengan Tun Dr Mahathir bahawa memang sektor korporat mempunyai peranan penting dalam pembangunan negara. Sumbangan mereka kepada negara tidak boleh diambil mudah.

Pada masa yang sama, sektor korporat tidak sepatutnya menjadi kapitalis kroni, sebaliknya benar-benar bersaing mengikut kemampuan dan kelayakan secara cekap, bertanggungjawab, telus dan bersih.

Apa yang dipegang oleh DAPSY adalah sosial demokrasi yang menawarkan jaringan keselamatan untuk rakyat di saat kesusahan. Sosial demokrasi yang kami yakini adalah negara berkebajikan untuk rakyat yang memerlukan, terutamanya B40 dan termasuk juga M40. Yang penting adalah sistem pasaran sosial yang meraikan persaingan sihat tanpa menyisihkan tanggungjawab sosial, dan bukannya sistem kapitalisme yang mengutamakan keuntungan semata-mata melalui persekongkolan dengan elit penguasa.

Kami di DAPSY sentiasa bersedia dan terbuka untuk berdialog untuk menawarkan solusi kami untuk kita sama-sama memakmurkan negara demi kemaslahatan rakyat jelata.