Skip to content

Rekod tragis kematian COVID-19 harian tertinggi sebanyak 153 orang pada 18 Julai yang menjadikan jumlah kematian kumulatif melebihi 7,000, mengingatkan kita akan pentingnya pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) yang pantas dan lancar

Rekod tragis kematian COVID-19 harian tertinggi sebanyak 153 orang pada 18 Julai yang menjadikan jumlah kematian kumulatif melebihi 7,000, mengingatkan kita akan pentingnya pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) yang pantas dan lancar. Penghantaran vaksin lebih awal dan kadar vaksinasi yang lebih cepat dapat mencegah kematian daripada jumlah lebih dari 7,000 tersebut.

Jangkitan harian juga telah mencapai tahap tertinggi berikutan kegagalan keseluruhan kerajaan dengan dasar yang berubah-ubah polisi dan pusingan U SOP, amalan dua darjat dalam penguatkuasaan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara rakyat biasa dan VIP serta ketidakcekapan kerajaan sendiri. Terdapat kesedaran yang semakin meningkat bahawa untuk memenangi pertempuran melawan COVID-19, pertamanya perlu ada perubahan cara pemikiran dari pembendungan semata-mata kepada langkah mitigasi.

Oleh kerana kerajaan telah kalah dalam usaha untuk membendung COVID-19, maka perlu ada peralihan kepada langkah mitigasi dengan menerima kenyataan bahawa rakyat akan terus hidup bersama COVID-19. “Total lockdown” telah jelas gagal mengurangkan rekod tertinggi jangkitan harian dan angka kematian kerana kegagalan keseluruhan kerajaan.

Sebaliknya, siri “total lockdown” telah menyebabkan kesusahan yang tidak terkira kepada mata pencarian ekonomi rakyat Malaysia dengan kehilangan pekerjaan dan penutupan perniagaan. Perlu ada peralihan ke arah “lockdown” yang bersasar dan kadar vaksinasi yang lebih tinggi. Nyawa bukan sahaja hilang akibat COVID-19 tetapi juga dari kehilangan mata pencarian ekonomi dengan peningkatan kadar bunuh diri.

Usaha keseluruhan masyarakat sangat penting untuk berjaya melawan COVID-19 melalui “lockdown” yang bersasar dan kadar vaksinasi yang lebih tinggi. Pelantikan Ahli Parlimen DAP Bangi Dr Ong Kian Ming, seperti diumumkan oleh Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin, sebagai penyelaras di Selangor untuk peningkatan vaksinasi adalah satu langkah yang baik. Ini memberikan peluang kejayaan yang lebih tinggi dalam memastikan setiap orang dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang Ogos di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti (OSC).

Bagi memastikan OSC berjaya, kepakaran profesional mengatasi perbezaan politik parti, penerimaan bahawa kesilapan boleh berlaku, dan perlu ada kesediaan untuk mendengarkan pendapat yang tidak sehaluan. Tidak ada yang lebih penting di bawah OSC selain untuk mengurangkan jangkitan harian, angka kematian dan mereka yang mengalami kes serius Covid-19 yang perlu dimasukkan ke hospital dan dimasukkan ke unit rawatan rapi.

DAP bersedia menyokong sepenuhnya PICK dan OSC. Atas sebab ini, DAP mencadangkan agar penyelaras OSC negeri juga dilantik bagi negeri Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang diperintah oleh PH di mana kerjasama erat dapat dijalin antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan PICK dan OSC berjaya.