Resolusi berikut telah diluluskan secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam mesyuarat malam semalam, 13 Februari 2015.
- DAP menitipkan belasungkawa buat anggota keluarga, organisasi parti dan ahli PAS atas pemergian mantan Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari 2014. Almarhum Tok Guru adalah tokoh yang disegani oleh semua rakyat Malaysia, disayangi oleh umat Islam dan amat dihormati oleh warga bukan-Islam atas integriti peribadinya, keberanian dan gaya hidup rendah diri serta sifat manusiawi yang begitu mendalam dan menghormati keharmonian pelbagai agama. Tok Guru pastinya akan dirindui atas iman dan taqwa terhadap Islam, keazaman yang utuh ketika berhadapan dengan kekuatan Barisan Nasional dan Umno; kepercayaannya terhadap masa depan Pakatan Rakyat dan iltizamnya untuk memperkukuhkan Pakatan demi berjuang melawan salahguna kuasa dan korupsi oleh BN yang berleluasa.
- DAP menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Pembangkang Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mendepani hukuman lima tahun penjara, yang merupakan angkara konspirasi politik untuk mengakhiri kerjaya politiknya dan menghalang perubahan aman ke arah demokrasi yang berfungsi melalui jalan yang diperuntukkan Perlembagaan daripada pemerintahan kuku besi Barisan Nasional. DAP menggesa rakyat Malaysia untuk mengubah rasa hiba dan titis air mata mereka akibat pemenjeraan Anwar, menjadi kekuatan untuk menambah lagi usaha ke arah kebebasan, keadilan, kebenaran dan demokrasi. Marilah kita menjadikan pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh sebagai serangan sulong kempen yang bukan sahaja demi membebaskan Anwar tetapi juga membebaskan Malaysia.
- DAP menggesa pemimpin dan anggota ketiga-tiga parti komponen Pakatan untuk mengenang sumbangan kedua-dua pemimpin ini ke arah pembentukan Pakatan dengan meneruskan usaha mereka untuk mengekalkan Pakatan Rakyat berasaskan prinsip-prinsip konsensus terhadap nilai-nilai yang disepakati bersama dan mengorbankan sebarang tindakan yang gagal mendapatkan kesepakatan ketiga-tiga parti.
- DAP dengan tegas mengecam Tan Sri Muhammad Shafee, ketua pasukan pendakwa dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, di atas serangan tercela dan keji terhadap Datuk Seri Anwar dan Tok Guru Nik Aziz, di saat kedua-dua tidak lagi boleh menjawab dan mempertahankan diri.