Skip to content

Respon terhadap tunggakan saman tidak diselesaikan oleh pemandu kenderaan warganegara asing

Isu tunggakan saman tidak diselesaikan pemandu kenderaan warganegara asing di negara kita masih belum dapat diatasi dengan sepenuhnya. Hal ini sudah tentu akan menjadi isu yang serius apabila semakin ramai warganegara asing tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalanraya Malaysia.

Berdasarkan jawapan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri dalam sidang Parlimen baru-baru ini, sejak tahun 2010 sehingga 2014, sejumlah 299,823 saman lalu lintas Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikeluarkan ke atas kenderaan dari luar negara. Daripada saman yang dikeluarkan itu, sejumlah 76,531 saman ataupun 25% sahaja yang telah berjaya diselesaikan.

Pada tahun 2010 sahaja, sebanyak 39,165 saman tunggak daripada pemandu kenderaan warganegara asing, dan jumlah itu hanya menurun pada tahun 2011 kepada 17,028 saman. Pada tahun 2012 pula sebanyak 20,806 saman yang tidak berbayar warganegara asing.

Jumlah tersebut terus menunjukkan trend peningkatan yang tinggi pada tahun 2013 iaitu sebanyak 72,921 saman dengan peningkatan sebanyak 52,115 saman atau 3.5 kali ganda dari tahun sebelumnya. Jumlah itu terus meningkat pada tahun 2014 kepada 73,372 saman walaupun beberapa operasi untuk saman trafik tertunggak warga asing telah dijalankan pada Disember tahun tersebut.

Jelasnya lagi, daripada 76,531 saman yang telah berjaya diselesaikan itu, RM8,518,250 telah berjaya dikutip. Sekiranya kerajaan Malaysia dapat mengutip semua saman tertunggak, dianggarkan jumlah kutipan yang boleh diperolehi secara puratanya adalah sebanyak RM24,853,419.

Jumlah saman trafik tertunggak yang begitu tinggi bukan sahaja menjadi sesuatu kerugian besar kepada negara kita, tetapi apa yang kita membimbangkan, peraturan dan undang-undang jalan raya Malaysia tidak dipatuhi oleh warganegara asing kerana penguatkuasa yang lemah dan tidak berkesan.

Di Singapura, kenderaan warganegara asing jika dikenakan saman, pesalah dikehendaki membayar saman terlebih dahulu sebelum dibenarkan keluar. Antara kaedah yang dipakai oleh kerajaan Singapura adalah sistem saman elektronik secara online, saman yang dikenakan akan disenaraikan secara automatik ke dalam sistem mereka.

Justeru itu, sudah tiba masanya kerajaan Malaysia untuk mencontohi kerajaan Singapura bagi mengatasi masalah saman tertunggak warganegara asing dalam negara kita.