Skip to content

Respons Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook terhadap kenyataan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli

Saya mengambil maklum kenyataan Sdr Rafizi Ramli yang mengharapkan kepimpinan tertinggi DAP untuk tidak mengambil pendekatan berkonfrontasi dengan PAS dan hasrat beliau untuk mengelakkan perlawanan 3 penjuru melibatkan Pakatan Harapan dan PAS dalam PRU 14.

Perlu diingatkan bahawa bukan DAP yang berkonfrontasi dengan PAS tetapi pimpinan tertinggi PAS terutama Presidennya yang telah mengisytiharkan “perang” terhadap DAP dan PAS yang mengumumkan bahawa mereka akan bertanding di semua kerusi yang ditandingi oleh DAP dalam PRU 14.

Serangan tidak berasas daripada PAS terhadap DAP juga boleh dilihat dari tuduhan liar Presiden PAS yang mendakwa DAP cuba memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan untuk “menghalalkan” perjudian dan arak kepada masyarakat beragama Islam.

Semua parti dalam Pakatan Harapan juga perlu sedar bahawa pimpinan tertinggi PAS telah menyatakan hasrat mereka secara terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO. Bukti yang terbaru ialah keputusan PAS untuk tidak menolak Bajet 2016 di Parlimen semalam.

Kami menghormati beberapa pemimpin PAS yang berani dan terus berjuang untuk menentang UMNO dan Barisan Nasional terutamanya 3 Ahli Parlimen PAS yang mengingkari arahan Presiden mereka dengan mengundi menolak Bajet 2016 iaitu YB Dato’ Mahfuz Omar (Pokok Sena), Ahmad Baihaki Atiqullah (Kubang Kerian) dan Datuk Nik Mazian Nik Mohamad (Pasir Puteh).

Namun, keberanian 3 Ahli Parlimen PAS ini tidak mewakili pendirian rasmi kepimpinan tertinggi PAS yang dilihat lebih mesra dengan Barisan Nasional daripada Pakatan Harapan pada ketika ini.

Walaupun DAP tidak menolak sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk mencapai matlamat “satu lawan satu” dengan Barisan Nasional pada PRU 14, namun pimpinan tertinggi Pakatan Harapan perlu sedar dan realistik bahawa pimpinan tertinggi PAS pada hari ini tidak akan berkompromi dengan Parti Amanah Negara dan DAP. Sudah tentu PKR cukup memahami perkara ini kerana mereka juga pernah dikhianati oleh PAS di beberapa kerusi yang ditandingi oleh PKR dalam PRU 13.

Justeru itu, semua parti dalam Pakatan Harapan perlu memperkuatkan jentera pilihanraya kami di semua peringkat dan bersiap sedia untuk menghadapi senario baru dan realiti politik semasa dalam PRU 14 yakni kemungkinan untuk bertembung dengan Barisan Nasional dan PAS di kebanyakan kerusi yang ditandingi oleh Pakatan Harapan.