Ini bukan kali pertama Rina Harun menggunakan publisiti murahan yang menjatuhkan imej jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Jauh bezanya beliau berbanding dengan ikon Menteri Wanita Pakatan Harapan Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Kali ini video Rina yang menggunakan kata-kata wanita “bangun lambat”, perempuan ni/wanita ni semuanya lambat”, “eh bangkitlah”, “bangun daripada tidur” dan “aku nak belasah kepala korang” begitu menghina kaum wanita. Yang paling teruk apabila Rina dan pegawai Yayasan Kebajikan Negara hanya berdiri dan tersengih-sengih semasa kata-kata itu digunakan di pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat KPWKM.
Tahukah Rina ramai kaum ibu tidur lewat dan bangun sebelum subuh untuk membuat persiapan bagi keluarga mereka? Kaum wanita kerap menjadi mangsa stereotaip dan mangsa keganasan rumahtangga. Bagaimana seorang Menteri boleh membenarkan skrip dan video promosi program Kementerian yang merendahkan martabat dan mempersendakan kaum wanita?
Rina Harun tidak dibayar gaji beribu-ribu setiap bulan oleh rakyat hanya untuk beliau membuat program. Rakyat bayar gaji Menteri bukan untuk Rina buat kerja event organiser. Rina tidak perlu membuat kerja Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Mereka lebih mahir dalam bab ini. Sebut mengenai bisnes, Rina sendiri mempunyai kes mahkamah sebelum ini dan saya berpendapat, lebih baik jika Rina tidak mengajar wanita lain untuk “bangkit” dalam bisnes – https://says.com/my/news/rina-harun-settling-rm2-3-million-lawsuit-against-her-from-france
Cukuplah tiga (3) tahun menjadikan KPWKM ini sebagai bahan gurauan. Saya sedih melihat agensi, pegawai kerajaan dan kumpulan sasar KPWKM digunakan seperti ini.
Kalau Perdana Menteri Ismail Sabri betul-betul serius mengenai perjuangan Keluarga Malaysia, gugurkanlah Menteri sebegini yang memperlekehkan peranan wanita. Yang harus “bangun daripada tidur” adalah Rina Harun dan Timbalan Menteri beliau. Tiga (3) tahun sudah melebihi probation period untuk mereka “bangkit” membuat kerja.