Cubaan demi cubaan untuk menutup cerita sebenar wang berjumlah RM 2.6 billion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri. Pada mulanya, dikatakan wang ini adalah sumbangan politik yang digunakan untuk perbelanjaan Pilihanraya Umum Ke-13. Belumpun selesai dakwaan ini, timbul pula kenyataan daripada Ketua UMNO Bahagian Kuantan.
Beliau menyatakan wang RM 2.6 billion yang masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri adalah hadiah daripada Arab Saudi kononnya untuk menghargai usaha Malaysia menyekat penyebaran fahaman kumpulan militan Negara Islam (IS). Wang ini dikatakan didepositkan ke akaun Perdana Menteri melalui dua transaksi bertarikh 21 Mac dan 25 Mac 2013.
Saya ingin mengemukakan pertanyaan berapa kalikah operasi ketenteraan atau kemanusiaan yang telah diberi kepada Arab Saudi sebelum Mac 2013? Jika boleh dibuktikan pun pernah memberi bantuan, adakah bantuan tersebut diberi menggunakan kewangan kerajaan atau pun parti politik?
Selain itu, jika bantuan yang telah dihulurkan adalah menggunakan sumber kerajaan, mengapakah pula sumbangan RM2.6 billion itu tidak diserahkan kepada kerajaan sebaliknya dimasukkan ke akaun peribadi? Adakah UMNO menganggap bahawa Kerajaan adalah milik UMNO? Ini menunjukkan bahawa UMNO sememangnya mempunyai mentaliti serupa dengan mentaliti Nazi semasa Perang Dunia Kedua.
Jika UMNO memberikan bantuan dalam bentuk kewangan, mengapakah tiada catatan kewangan dalam laporan kewangan dan bentang ke Parlimen? Jika UMNO tidak boleh memberikan bukti yang jelas berkaitan perkara ini, adakah UMNO akan memohon maaf kepada masyarakat kerana menyebarkan maklumat palsu ini?
Sepatutnya dalam menghadapi isu ini, UMNO dan Kerajaan sepatutnya memberikan penjelasan yang tepat dan tuntas. Bukannya terus menerus mengeluarkan kenyataan kabur dan mengelirukan masyarakat. Ini bukan sahaja menjadi bahan tawa dan membangkitkan kemarahan rakyat, malah dikhuatiri akan memberikan maklumat yang salah kepada pelabur asing. Saya bimbang pelabur-pelabur asing akan mula hilang kepercayaan terhadap negara kita dan kesannya nanti adalah amat buruk bagi ekonomi kita.