Skip to content

RM4 bilion diperlukan untuk meningkatkan sumber, peralatan dan kakitangan bagi menyokong sistem kesihatan kita yang semakin tertekan menghampiri kelumpuhan akibat peningkatan mendadak jangkitan dan kematian COVID-19

Babak menyedihkan para doktor di Hospital Kuala Lumpur yang merupakan hospital ternama negara, terdesak berusaha melakukan prosedur menyelamatkan nyawa pada pesakit yang nazak di atas lantai kerana kekurangan katil hospital, menunjukkan pergelutan melawan COVID-19 dan kekurangan katil hospital dan sumber untuk menyokong wira barisan hadapan perubatan kita. Tambahan RM 4 bilion diperlukan bukan sahaja untuk meningkatkan sumber, peralatan, dan kakitangan bagi menyokong sistem kesihatan kita yang semakin tertekan menghampiri kelumpuhan akibat peningkatan mendadak jangkitan dan kematian COVID-19.

Pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara bersasar yang menggunakan sains dan data berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang terbukti berjaya dengan pelaksanaan saringan massa untuk ‘uji, kesan, kuarantin dan rawat’, serta program vaksinasi yang cepat dan lancar, adalah harapan terbaik kita untuk memenangi perang melawan COVID-19. Tambahan RM4 bilion itu juga dapat digunakan untuk menawarkan jawatan tetap kepada 35,216 pegawai kesihatan kontrak yang terdiri daripada 23,077 pegawai perubatan, 5,000 pegawai pergigian dan 7,139 pegawai farmasi.

Malaysia telah mendapat nama yang buruk di peringkat antarabangsa setelah The Economist meletakkan Malaysia di tempat ke-50 atau terakhir daripada 50 ekonomi terbesar di dunia, yang menyumbang 90% daripada KDNK dunia dan 76 peratus penduduk, dalam indeks kembali normal global dari pandemik Covid-19. Kedudukan lebih corot daripada negara-negara seperti Pakistan, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Nigeria sebagai negara yang jauh ketinggalan untuk kembali normal dalam menangani krisis COVID-19 adalah petunjuk yang memalukan terhadap kegagalan pengurusan oleh PN, dasar yang tidak berhasil, pemikiran sekumpulan dan pemimpin yang tidak kompeten.

“Indeks kembali normal” The Economist mengukur perubahan tingkah laku yang dipaksa oleh pandemik Covid-19 dan menjejak negara dengan lapan petunjuk meliputi bidang pengangkutan dan perjalanan, rekreasi dan hiburan, dan peruncitan dan pekerjaan. Dengan perjalanan udara, pelancongan, peruncitan dan rekreasi kerugian lebih dari RM100 bilion tahun lalu, tidak ada harapan untuk Malaysia kembali normal dengan segera.

Bagaimana Bayaran “One-Off” RM3,000 Kepada Agensi Pelancongan Membantu Industri Pelancongan dan Hotel Istana?

Bagi melindungi perniagaan, moratorium pinjaman bank tanpa faedah serta geran kewangan, subsidi sewa dan utiliti berjumlah RM30 bilion perlu diberikan kepada perniagaan, terutamanya PKS. Tidak ada gunanya menawarkan potongan cukai untuk industri pelancongan apabila tidak ada pendapatan yang dihasilkan atau keuntungan yang diperoleh. Apa yang diperlukan adalah manfaat kewangan langsung. Sebagai contoh, di bawah Pemulih, 5,335 agensi pelancongan akan diberikan “one-off” RM3,000 yang hanya bernilai RM16 juta.

Adakah peruntukan RM16 juta dengan RM3,000 setiap satu, akan menghalang peningkatan mendadak penutupan hotel, yang terbaru adalah Hotel Istana bertaraf 5 bintang di Kuala Lumpur yang akan ditutup pada bulan September setelah 30 tahun beroperasi? Sama ada Kerajaan PN bangkit daripada tidur dan melakukan tugas mereka untuk membantu pemulihan ekonomi, dengan menghidupkan semula mata pencarian rakyat kita, melindungi pekerjaan untuk pekerja kita, dan menyelamatkan perniagaan untuk usahawan kita atau rakyat Malaysia harus menyesuaikan diri dengan norma baharu lebih banyak penutupan hotel dan kehilangan pekerjaan.