Kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta dalam Belanjawan 2015 untuk Kaum India melalui pinjaman TEKUN. Dijangka dana yang disediakan itu akan memanfaatkan 5,000 peminjam muda kaum India. Pada pendapat saya pemberian RM50 juta itu boleh diterima baik oleh semua pada peringkat permulaan walaupun jumlahnya masih kecil.
Saya cukup bimbang samada jumlah yang diperuntukkan itu akan sampai kepada sasaran. Setiap tahun ada peruntukkan seperti ini tetapi samada wang itu sampai kepada sasaran atau sebaliknya, masih menjadi satu tanda tanya. Saya seringkali menerima aduan daripada pemohon-pemohon yang layak tetapi gagal untuk mendapat pinjaman TEKUN. Mereka diberi pelbagai alasan dan ditipu dengan harapan. Mereka menjadi jemu selepas menunggu untuk satu tempoh yang lama dan kemudiannya diberitahu permohonannya telah gagal.
Peruntukan RM50 juta yang dikhususkan kepada 5000 orang di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Muda India adalah bertujuan untuk membantu belia-belia India. Secara purata seorang pemohon yang berjaya boleh mendapat pinjaman sebanyak RM10000 seorang.
Saya telah menegaskan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan harus memastikan supaya wang peruntukkan pinjaman TEKUN itu sampai kepada sasaran yang sebenar. Kita tidak mahu melihat atau mendengar penyelewengan oleh pihak-pihak tertentu dan akhirnya peruntukkan itu tenggelam di tengah jalan.
Pemilihan peminjam dana TEKUN juga harus dibuat secara jujur dan telus. Orang yang benar-benar layak harus diberi pinjaman. Jangan memberi pinjaman semata-mata berdasarkan hubungan kekelurgaan atau persahabatan politik. Kita juga perlu memastikan bahawa tidak wujud unsur-unsur rasuah dan pilih kasih dalam pemberian pinjaman tersebut.