Skip to content

RMK11: Transformasi Sabah hanya sebagai “Syurga Pendatang Asing Tanpa Izin”

Pengumuman RMK11 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini gagal memberikan apa-apa justifikasi terhadap dilema panjang rakyat Sabah. Kedudukan Sabah yang dahulunya sebagai rakan kongsi terkaya di Malaysia terus jatuh menjunam berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung sedangkan Sabah merupakan rakan kongsi membentuk Malaysia yang telah menjadi sumber pemacu pertumbuhan ekonomi negara selama ini.

Merujuk kepada KDNK 2010, pertumbuhan ekonomi Sabah mencatatkan antara yang terendah di Malaysia iaitu sebanyak 3% sama dengan negeri Perlis berbanding negeri-negeri lain. Ianya 50% lebih rendah berbanding purata kebangsaan 6.2%.

Angka ini merupakan satu tamparan hebat kepada pentadbiran BN Sabah pimpinan Datuk Musa Aman yang seringkali mewar-warkan pertumbuhan ekonomi Sabah yang baik. Namun realiti mengatakan sebaliknya.

Sebagai rakyat Sabah, saya berasa amat kecewa kerana BN gagal mengurustadbir ekonomi Sabah dengan baik sehingga kadar pertumbuhan ekonominya terendah, memiliki infrastruktur yang lemah malah menghadapi isu keselamatan dan pendatang asing tanpa izin seolah-olah tiada penghujungnya.

Persoalannya, tanpa sebarang penyelesaian terhadap kemelut panjang isu pendatang tanpa izin dan keselamatan di Sabah, adakah RMK11 boleh berlangsung dengan baik dan memacu pertumbuhan ekonomi Sabah?

Semasa membentuk Malaysia, Sabah merupakan negara terkaya dan kini, rakyat Sabah hanya menjadi mangsa pengkhianatan janji-janji manis kerajaan persekutuan. Transformasi pembangunan di Sabah yang paling ketara sejak membentuk Malaysia hanya tranformasi ‘pertambahan warga’ yang mendadak.

Pertambahan warga asing tanpa izin yang melampau ini telah menjadi antar punca utama wujudnya ancaman terhadap keselamatan Sabah terutamanya di bahagian Pantai Timur Sabah. Sebelum itu, saya ingin tegaskan bahawa DAP Sabah tidak anti terhadap warga asing untuk memenuhi permintaan sektor pekerjaan di Sabah namun kemasukan mereka ke perlulah secara sah.

Isu keselamatan Sabah perlu ditangani dengan baik dan bijaksana. Tanpa penyelesaian yang baik, ia secara langsung akan mengheret kepada penyusutan ekonomi Sabah memandangkan antara sektor utama penyumbang ekonomi Sabah selain sektor bahan api ialah sektor pelancongan.

Kemelut pendatang asing tanpa izin yang kini mencecah 27% di Sabah adalah kejayaan terbesar kerajaan BN. Inilah dilema yang dihadapi Sabah akibat kelemahan urustadbir dan penguatkuasaan yang lemah.

Dengan kadar pertumbuhan ekonomi yang rendah dan pertambahan penduduk warga asing yang melampau, adakah ia akan membantu pembangunan ekonomi Sabah?

Sebilangan pihak mungkin menganggap pengumuman RMK11 ini sebagai persediaan rancangan lima tahun sebelum Malaysia ditransformasi sebagai negara maju pada 2020. Tetapi bagi Sabah, kami hanya berjaya ditransformasi sebagai syurga warga asing.