Hari ini, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Pindaan) 2023. Sekiranya ia diluluskan di Dewan Negara, maka RUU ini akan meminda Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 (Akta 597).
Antara pindaan-pindaan dalam RUU yang telah diluluskan adalah seperti berikut:
- Menetapkan bahawa perlu ada sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam Suruhanjaya dan seorang Peseruhjaya sebagai komuniti OKU. Ini akan memastikan SUHAKAM lebih inklusif, dan memastikan terdapat representasi minima wanita dan OKU dalam badan tersebut.
- Menyatakan bahawa seseorang yang terlibat aktif dalam politik dan berdaftar dengan mana-mana parti politik daripada dilantik sebagai Pesuruhjaya untuk menjamin kebebasan daripada pengaruh politik partisan.
- Mewujudkan Ketua Pesuruhjaya Kanak-kanak dan dua orang Pesuruhjaya Kanak-kanak yang akan berkhidmat secara sepenuh masa bagi menguruskan perkara berkaitan hak asasi manusia kanak-kanak.
- Memberi kuasa kepada Menteri untuk menetapkan kod tatalaku yang perlu dan mewujudkan tribunal penyiasatan untuk menyiasat dakwaan salahlaku. Tribunal ini boleh mengesyorkan pemecatan Pesuruhjaya yang melanggar kod tatalaku dan ini memberi jaminan bahawa seseorang Pesuruhjaya tidak akan dipecat dengan sewang-wenangnya.
- Mewujudkan obligasi pada pihak berkuasa untuk memberi maklumbalas kepada SUHAKAM mengenai pelanggaran hak asasi yang telah dirujuk kepada pihak berkuasa tersebut.
- Memberi kuasa untuk SUHAKAM membuat lawatan ke mana-mana tempat atau institusi dan membuat syor-syor berpatutan. Ini meluaskan lagi kuasa sebelum ini yang hanya terhad kepada ‘tempat tahanan’ sahaja.
- Mensyaratkan supaya Menteri untuk berunding dengan SUHAKAM sebelum membuat apa-apa peraturan di bawah Akta 597.
Secara dasarnya, pindaan-pindaan ini adalah pindaan-pindaan yang memperkasakan lagi SUHAKAM dalam menjalankan fungsi-fungsi dan tanggungjawab statutorinya. Ini merupakan pindaan-pindaan yang paling signifikan ke atas Akta 597 sejak Akta tersebut digubal.
Pada masa yang sama, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa peruntukan dalam Akta 597 yang masih boleh diperbaiki dan perlu dilihat semula. Saya mengesyorkan supaya Kerajaan terus mendapat maklumbalas dan mengadakan sesi libat urus untuk memperbaiki lagi Akta tersebut.
Lebih penting lagi, RUU ini sekaligus membuktikan bahawa Kerajaan Madani masih komited dengan sepenuhnya kepada reformasi institusi, walaupun terdapat pihak-pihak yang mendakwa sebaliknya.
Wajar juga diingatkan semua bahawa tanggungjawab mendukung dan melindungi hak asasi manusia tidak hanya terletak pada SUHAKAM sahaja, tetapi tanggungjawab semua, termasuklah Kerajaan, Parlimen, Mahkamah, sektor swasta dan individu. Hak asasi adalah untuk semua, dan tanggungjawab semua.