Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) terus memperkukuh komitmen membantu pekebun kecil sawit di Sabah melalui pelaksanaan Program Santuni Pekebun Kecil Sawit Daerah Sandakan dan Tawau yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Chan Foong Hin pada Rabu dan Khamis lalu.
Program ini menjadi platform penting bagi mendekati komuniti pekebun kecil, menyampaikan maklumat berkaitan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), serta memperkenalkan pelbagai insentif dan skim bantuan kerajaan yang bertujuan meningkatkan produktiviti serta pendapatan pekebun kecil di Sabah.
Dalam ucapannya, Chan memaklumkan bahawa Sabah kini menjadi negeri penerima peruntukan tertinggi di Malaysia di bawah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM61,560,637.20, melibatkan 796 permohonan yang diluluskan merangkumi kawasan seluas 3,420.04 hektar.
Skim TSPKS 2.0 merupakan bantuan dalam bentuk geran padanan (matching grant) yang diuruskan oleh Agrobank, khusus untuk membantu pekebun kecil persendirian melaksanakan penanaman semula pokok sawit tua bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan kecekapan ladang dalam jangka panjang.
Daripada jumlah tersebut, daerah Tawau mencatat sebanyak 144 permohonan diluluskan dengan keluasan 674.31 hektar, melibatkan peruntukan berjumlah RM12,137,520.60, manakala daerah Sandakan pula mencatat 34 permohonan diluluskan dengan keluasan 155.76 hektar melibatkan peruntukan RM2,803,633.20.
Menurut Chan, pelaksanaan skim ini membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu pekebun kecil meningkatkan keupayaan produktiviti melalui penanaman semula sawit yang lebih efisien dan mampan.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan Pensijilan MSPO bukan sahaja memastikan penerimaan pasaran global terhadap minyak sawit Malaysia, malah memberi pelbagai manfaat kepada pekebun kecil seperti pengamalan Amalan Pertanian Baik (GAP), peningkatan hasil tanaman, serta penjagaan alam sekitar.
Sehingga 15 Oktober 2025, Sabah mencatat kadar pensijilan MSPO tertinggi di Malaysia dengan 30,768 orang pekebun kecil melibatkan 191,517.96 hektar, mewakili 96.09% kadar pematuhan. Di daerah Tawau, seramai 1,600 orang pekebun kecil dengan 15,614.57 hektar telah memperoleh pensijilan MSPO, manakala di Sandakan, seramai 1,025 pekebun kecil di bawah SPOC S22 (7,384.25 hektar) dan 701 pekebun kecil di bawah SPOC S23 (4,678.10 hektar) turut disahkan bersijil.
Menurut Chan, kejayaan ini membuktikan bahawa pekebun kecil di Sabah semakin sedar tentang kepentingan pengurusan ladang yang mampan dan berdaya saing.
Selain itu, kerajaan turut menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih jalan-jalan ladang di bawah projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK). Sehingga 31 Oktober 2025, sebanyak 57 projek JLPK telah diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM17,056,325.00 di Sabah. Antaranya tiga projek jalan ladang di daerah Tawau dengan peruntukan RM2 juta telah diluluskan bagi memudahkan urusan logistik dan pengangkutan hasil tuaian pekebun kecil. Selaras dengan komitmen ini, Belanjawan MADANI 2026 juga memperuntukkan tambahan RM50 juta bagi penyelenggaraan dan pembangunan jalan ladang di seluruh negara untuk meningkatkan akses dan kemudahan kepada komuniti pekebun kecil.
Dalam usaha memperkasa Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah memperkenalkan Skim Mekanisasi KPSM (SMK) di bawah Program Mekanisasi, Automasi, Internet of Things (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Komoditi. Melalui skim ini, peralatan mekanisasi dan jentera diagihkan secara geran kepada KPSM di seluruh Malaysia dengan peruntukan keseluruhan RM4 juta. Sehingga 15 Oktober 2025, enam buah KPSM di Sabah telah menerima manfaat skim ini dengan nilai keseluruhan RM444,900 bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi di ladang.
Chan menyeru semua pihak untuk terus memanfaatkan sepenuhnya pelbagai bantuan dan insentif yang disediakan oleh kerajaan. Beliau yakin bahawa dengan sokongan semua pihak, hasil pengeluaran sawit pekebun kecil di Sabah akan terus meningkat dan seterusnya menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada komuniti luar bandar.