Skip to content

SABAH DI PERSIMPANGAN: MODEL TANJUNG ARU PEMANGKIN UNTUK MEMBINA SABAH

Sepanjang dua minggu kempen berlangsung, para pengundi di Tanjung Aru telah menyampaikan satu isyarat yang amat jelas. Mereka mahukan kesinambungan pembangunan, masa depan yang terjamin, dan Sabah yang stabil serta makmur.

Mesej mereka terang lagi nyata: kestabilan politik adalah tunjang kepada kemajuan, dan kemajuan pula merupakan amanah untuk generasi akan datang. Sentimen ini menjadi denyut nadi kempen Perpaduan Tanjung Aru – keinginan rakyat terhadap sebuah pentadbiran yang teratur, boleh dijangka, dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Dengan pengalaman saya sebagai Timbalan Menteri Persekutuan dan Ahli Parlimen, saya komited membawa pembangunan yang lebih tersusun dan kebajikan rakyat yang lebih terjamin – lebih-lebih lagi setelah mendengar keluhan bahawa wakil rakyat terdahulu gagal menyampaikan khidmat sewajarnya.

Dalam pada masa yang sama, kita perlu sedar bahawa tiada satu parti politik akan mampu membentuk kerajaan bersendirian di Sabah dalam era politik baharu ini. Maka, pendekatan harmoni dan kerjasama rapat antara kerajaan Sabah yang akan datang dengan Kerajaan MADANI adalah amat kritikal. Pembangunan berterusan dan kebajikan rakyat Sabah hanya dapat diperkukuh melalui hubungan erat antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Perkara ini turut terserlah sepanjang tempoh kempen, apabila saya berpeluang menerima kehadiran serta sokongan padu daripada para pemimpin nasional dan tempatan. Sokongan tersebut bukan sekadar tanda restu politik, tetapi manifestasi keyakinan bahawa Tanjung Aru memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan Sabah.

Di pihak Pakatan Harapan, Perdana Menteri merangkap Presiden Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; serta Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke – semuanya tampil memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

Daripada Barisan Nasional pula, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut turun padang di Tanjung Aru, mengukuhkan lagi solidariti dan iltizam bersama.

Bagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, turut kempen bersama menekankan mesej bahawa Kerjasama Besar sedang terbina, bukan sekadar antara parti, tetapi antara aspirasi rakyat dan masa depan Sabah.

Kerjasama tiga penjuru antara jentera PH, BN dan PGRS kini menjadi tunggak utama kempen di Tanjung Aru. Semangat “Grand Unity” ini bukan lagi slogan; ia diterjemah menjadi kekuatan tersusun, berdisiplin, dan berkesan.

Dalam PRN Sabah ke-17, formula ini terbukti:
1 + 1 + 1 bukan sekadar 3 – tetapi kekuatan yang jauh lebih besar apabila pengundi terhimpun di bawah satu panji kestabilan.

Keputusan PRN Sabah pada Sabtu ini dijangka menyaksikan tiada parti tunggal yang mampu menubuhkan kerajaan negeri tanpa bergabung dengan mana-mana parti. Saya yakin Tanjung Aru telah menunjukkan model terbaik untuk membina Sabah yang stabil, inklusif dan makmur.

Inilah titik perubahan yang mampu membuka jalan baharu ke arah kemakmuran yang lebih mampan.

Kali ini, kita Kasi Chan, Bawa Pembangunan. Jaga Kebajikan.
Sabah pasti ada Harapan!