Skip to content

Sabitan kesalahan ke atas bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak adalah berdasarkan fakta dan bukti yang dikemukakan di mahkamah

Beberapa pemimpin UMNO diketuai oleh Presidennya, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi cuba menggambarkan bahawa bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak tidak diberikan perbicaraan yang adil atau proses kehakiman yang adil berhubung pertuduhan-pertuduhan berkaitan SRC International terhadapnya. Ini jauh daripada kebenaran. Penjelasan berikut akan membantu kita melihat bahawa Dato’ Seri Najib Razak telah diberikan perbicaraan yang adil dan proses kehakiman yang adil.

1. Keputusan kehakiman adalah berdasarkan fakta dan bukti yang dikemukakan di mahkamah.

Hakim-hakim membuat keputusan mereka berdasarkan fakta dan bukti yang dikemukakan di mahkamah. Jika fakta dan bukti yang dikemukakan menunjukkan bahawa seseorang itu telah melakukan sesuatu kesalahan, maka hakim mesti menyabitkannya dengan kesalahan tersebut dan jika fakta dan bukti yang dikemukakan tidak menunjukkan seseorang itu melakukan kesalahan maka beliau hendaklah dibebaskan. Semua perkara lain adalah perkara luaran atau tidak relevan.

Peranan Pendakwa raya dan peguam bela hanyalah untuk membantu mahkamah. Hakim-hakim tidak akan membuat keputusan berdasarkan drama-drama yang ditunjukkan oleh pihak pendakwaan atau pembelaan. Mereka juga tidak membuat keputusan berlandaskan betapa hebatnya seorang peguam yang digaji oleh tertuduh.

Kesemua sembilan hakim iaitu Hakim Mahkamah Tinggi, 3 Hakim Mahkamah Rayuan dan 5 hakim Mahkamah Persekutuan telah sebulat suara mendapati Dato’ Seri Najib Razak bersalah berdasarkan fakta dan bukti/keterangan yang telah dikemukakan di mahkamah.

2. Adakah Dato’ Seri Najib Razak dinafikan keadilan apabila Mahkamah Persekutuan enggan membenarkan permohonannya untuk mengemukakan bukti baharu?

Bukti baharu yang cuba dikemukakan oleh Dato’ Seri Najib Razak ialah bahawa hakim yang membicarakan kesnya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pernah bekerja sebagai peguam kepada kumpulan Maybank dan sebagai setiausaha syarikat Maybank antara 2006 dan 2015. Bukti/keterangan ini adalah tidak relevan.

Jikapun keterangan ini diterima, ia sama sekali tidak menjejaskan fakta dan bukti yang telah dikemukakan di mahkamah bahawa Dato’ Seri Najib Razak adalah bersalah atas tuduhan-tuduhan terhadap beliau. Oleh itu, penolakan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu ini tidak menyebabkan ketidakadilan kepada Dato’ Seri Najib Razak.

3. Adakah Dato’ Seri Najib Razak dinafikan keadilan apabila Mahkamah Persekutuan enggan memberikan penangguhan kepada kesnya?

Orang ramai mesti tahu bagaimana mahkamah peringkat rayuan seperti Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berfungsi. Banyak kes yang jelas dilupuskan dalam masa beberapa minit manakala yang lain diberi sedikit masa yang lebih, jarang melebihi 1 hari. Adakah pelupusan kes dengan cepat di peringkat mahkamah rayuan bermaksud telah berlakunya ketidakadilan? Tidak. Ini adalah kerana hakim peringkat mahkamah rayuan telah membaca Rekod Rayuan yang mengandungi fakta dan keterangan yang telah dikemukakan di mahkamah semasa perbicaraan, penghujahan lisan dan bertulis semua pihak-pihak, alasan-alasan penghakiman hakim yang membicarakan kes dan juga alasan-alasan rayuan pihak perayu. Hakim-hakim peringkat mahkamah rayuan telah menggunakan banyak masa meneliti sesuatu kes sebelum hari pendengaran rayuan di hadapan mereka. Mereka sudah mempunyai gambaran penuh tentang kes tersebut, mereka telah membaca hujah-hujah yang dikemukakan oleh semua pihak, alasan-alasan yang menjadi asas keputusan hakim yang membicarakan kes dan alasan-alasan rayuan perayu yang tidak berpuas hati dengan keputusan hakim. Peranan hakim-hakim di peringkat mahkamah rayuan adalah untuk melihat sama ada hakim yang membicarakan kes telah terkhilaf atau membuat apa-apa kesilapan dalam penghakimannya. Dengan pengalaman berdekad-dekad dan pengetahuan undang-undang mereka yang luas, hakim-hakim peringkat mahkamah rayuan sudah bersedia membuat keputusan selepas membaca Rekod Rayuan. Tarikh yang ditetapkan untuk pendengaran rayuan adalah untuk memberi peluang terakhir kepada pihak-pihak berkenaan memujuk hakim-hakim peringkat mahkamah rayuan mengekalkan atau menukar keputusan awal yang telah dibentuk dalam fikiran mereka. Pencerahan ini dapat menjelaskan mengapa hakim-hakim peringkat mahkamah rayuan hanya memerlukan beberapa minit untuk melupuskan sesuatu kes.

Dato’ Seri Najib Razak telah mengemukakan 94 alasan-alasan rayuan untuk dipertimbangkan oleh Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan . Keputusan awal mereka adalah bahawa alasan-alasan ini tidak berasas. Oleh kerana peguam Dato’ Seri Najib Razak memutuskan untuk tidak mengemukakan hujah yang lebih lanjut, maka Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan telah mengesahkan keputusan awal mereka dan mengesahkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atas Dato’ Seri Najib Razak.

4. Draf Penghakiman Mahkamah Persekutuan Yang Bocor

Presiden UMNO, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memberi gambaran bahawa hakim-hakim Mahkamah Persekutuan telah berlaku tidak adil kepada Dato’ Seri Najib Razak kerana mereka telah membuat keputusan bahawa Dato’ Seri Najib Razak bersalah sebelum pendengaran rayuannya didengar. Seperti yang dijelaskan di atas, draf Penghakiman Mahkamah Persekutuan adalah keputusan awal hakim-hakim Mahkamah Persekutuan selepas membaca Rekod Rayuan. Walaupun kebocoran draf penghakiman Mahkamah Persekutuan mesti dikecam, ia menunjukkan bahawa kes rayuan Datuk Seri Najib Razak telah dikendalikan oleh hakim-hakim yang rajin yang telah meneliti kesnya secara terperinci. Bagaimanapun, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan mendapati fakta dan bukti yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan beliau bersalah.

5. Mahkamah Persekutuan memberi 9 hari kepada Dato’ Seri Najib Razak untuk mendengar rayuannya, mungkin tempoh yang paling lama diberikan kepada seorang perayu dalam sejarah!

Seperti yang dinyatakan di atas, selalunya kes-kes di peringkat mahkamah rayuan dilupuskan dalam masa beberapa minit sahaja pada tarikh yang ditetapkan untuk pendengaran sesuatu rayuan. Akan tetapi Mahkamah Persekutuan telah memberi tempoh 9 hari kepada Dato’ Seri Najib Razak untuk mendengar rayuannya! Ini mungkin tempoh yang paling lama dalam sejarah diberikan oleh Mahkamah Persekutuan untuk sesuatu rayuan! Bagaimanakah Dato’ Seri Najib Razak atau UMNO boleh menuduh Mahkamah Persekutuan sebagai tidak adil kepada beliau?

Tiada siapa yang perlu meragui bahawa Dato’ Seri Najib Razak telah diberikan perbicaraan yang adil dan proses kehakiman yang adil.