Semalam, Mahkamah Majistret Petaling Jaya telah memberikan DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan) kepada Wong Yan Ke, bekas presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY), di atas pertuduhan Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana beliau mengingkari arahan untuk menghentikan rakaman langsung serbuan yang dilakukan pihak polis pada tiga tahun lepas.
Rentetan daripada keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah, saya menegaskan agar pihak polis untuk memberikan penjelasan berkenaan beberapa soalan berkaitan kes ini. Pertamanya, mengapakah kelima-lima saksi polis gagal menghadirkan diri ke perbicaraan tersebut? Di dalam situasi ini, kita dapat nilai bahawa ini adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab. Sebahagian besar masa, tenaga kerja dan belanja yang melibatkan pihak polis, pihak pendakwaan, mahkamah dan tertuduh telah dibazirkan begitu sahaja.
Kedua, apakah rasional orang awam dilarang untuk merakam, menangkap gambar operasi dan perilaku anggota polis? Sebagai pegawai berkuasa yang menjalankan amanah dan tanggungjawab hakiki menegakkan undang-undang negara, di sini tidak muncul kepayahan di dalam membiarkan rakaman berlangsung, melainkan ada perkara yang perlu disorok dan tidak boleh didedahkan kepada umum.
Dasawarsa ini, segala gerak geri orang ramai dirakam oleh CCTV, samada sedar atau tidak. Selain itu, wartawan dan orang awam juga peka dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak polis dan sudah banyak siaran aktiviti polis, misalnya serbuan dimuat naik dan disiarkan di dunia maya. Di dalam situasi ini, pihak polis dan agensi penguatkuasaan yang lain perlu beroperasi seiring dengan kemajuan semasa dan menyambut baik budaya yang menjadikan kerja mereka yang telus dan dan membawa keyakinan.
Ingin juga saya ingatkan di sini, pihak kerajaan telah memberikan belanjawan sebanyak RM30 juta bagi tahun ini untuk memperoleh 2,100 kamera badan bagi diguna pakai oleh anggota polis semasa bertugas. Bilakah perkara ini akan dilaksanakan?