Ia dijangka dapat menjana pelaburan kumulatif lebih RM20 bilion menjelang tahun 2030, menjadikan kawasan Kerian sebagai pintu masuk pelaburan ke utara Perak.
Di tengah negeri pula, terletaknya Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan – melibatkan pembangunan di kawasan seluas 330.2 hektar di tanah milik PKNPk yang bakal menyediakan 13,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Perak, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.03 bilion. Ia dijangka membawa pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik bernilai RM14 bilion dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun.
Di selatan, Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim yang terus mencuri perhatian dunia automotif, khususnya dalam bidang kenderaan elektrik (EV). DRB-HICOM dan Geely telah mula memacu pembangunan ekosistem EV yang dijangka mewujudkan lebih 32,000 pekerjaan secara langsung dan tidak langsung.
Kejayaan pelancaran AHTV ini adalah satu langkah strategik yang mampu meletakkan Perak sebagai hab automotif utama negara.
Di barat pula, terdapat projek LuMIC (Lumut Maritime Industrial City) yang sedang dinanti-nantikan untuk dibangunkan sebagai hab maritim dan logistik antarabangsa.
Walaupun baru dilancarkan, projek LuMIC ini dijangka dapat memanfaatkan kekuatan geografi Perak di sepanjang pesisir pantai barat dan meningkatkan kedudukan negeri sebagai pintu masuk perdagangan maritim. Projek ini dijangka memberi kesan ekonomi rantaian yang besar kepada sektor pengangkutan, pembinaan kapal, latihan maritim serta eksport barangan dan logistik.
Saya menyokong penuh dasar dan pendekatan ekonomi yang inklusif ini, yang memberi peluang kepada semua – tanpa mengira daerah, kaum, agama, mahupun latar belakang politik.
PERANCANGAN BANDAR INKLUSIF: REKREASI UNTUK KESEJAHTERAAN MASYARAKAT
Tuan Yang Dipertua, selain isu penempatan industri dan penternakan, perancangan bandar moden juga perlu mengambil kira keperluan rekreasi rakyat sebagai elemen asas kesejahteraan sosial.
Dalam era urbanisasi yang pesat ini, kita tidak boleh hanya fokus kepada pembangunan komersial dan perumahan semata-mata, tetapi mesti merancang ruang awam yang sihat dan hijau untuk kegunaan komuniti.
Saya ingin memberi perhatian khusus kepada kawasan Sitiawan, yang sehingga hari ini masih kekurangan taman rekreasi berskala besar dan berkualiti untuk kegunaan penduduk setempat.
Sitiawan merupakan antara kawasan yang padat penduduk dan terus membangun pesat dengan pelbagai projek perumahan, pusat membeli-belah, sekolah dan institusi kesihatan – namun tanpa ruang rekreasi awam yang mencukupi, pembangunan ini tidak lengkap.
Saya menerima banyak aduan daripada penduduk Sitiawan – ibu bapa, warga emas, dan anak muda – yang menyuarakan kekesalan kerana tiada taman rekreasi yang sesuai untuk beriadah, bersenam, berbasikal atau sekadar bersantai bersama keluarga. Yang ada sekarang adalah padang Astaka yang sebenarnya merupakan satu lapangan terbang (aerodrome) yang milik Kementerian Pengangkutan tetapi digunakan untuk tujuan riadah.
Tanah untuk taman rekreasi Sitiawan telahpun dikenal pasti dan harus diwartakan secepat mungkin. Sekiranya tidak ditangani segera, kita akan berdepan kekurangan ruang hijau dalam 5 hingga 10 tahun akan datang apabila Padang Astaka tersebut digunakan atau diambil balik oleh Kementerian yang berkenaan.
Kajian dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan setiap bandar harus mempunyai sekurang-kurangnya 9 meter persegi kawasan hijau bagi setiap penduduk. Kita perlu menilai semula zon pembangunan sedia ada, dan pastikan Sitiawan memenuhi keperluan ini.
Saya menyarankan agar kerajaan negeri dan PBT mewujudkan taman rekreasi dengan kemudahan lengkap: trek joging, peralatan senaman, padang permainan, ruang interaktif warga emas dan kawasan mesra OKU.
Taman rekreasi bukan hanya tempat riadah, ia adalah ruang penyatuan komuniti – tempat anak-anak bermain tanpa gajet, tempat remaja bersukan, tempat warga emas bersosial, tempat pelbagai kaum dan agama saling berinteraksi. Di sinilah perpaduan akar umbi bermula.
Peranan ruang hijau bukan sekadar untuk senaman fizikal – tetapi juga sangat penting untuk kesihatan mental rakyat.
Statistik dari Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan peningkatan 25% dalam kes kesihatan mental dalam kalangan remaja dan dewasa muda sejak tahun 2020.
Kajian turut mendapati bahawa individu yang tinggal dalam lingkungan 1 kilometer dari taman hijau awam menunjukkan tahap stres 30% lebih rendah berbanding mereka yang tinggal di kawasan tanpa akses ruang rekreasi.
Maka, apabila kita menyeru agar taman rekreasi berskala besar di Sitiawan diwujudkan, ia bukan hanya permintaan rakyat untuk bersenam – tetapi permintaan untuk rawatan minda, terapi semula jadi, dan ruang untuk memperbaiki keseimbangan emosi.