Malaysia terus memecahkan rekod baru dalam setiap metrik COVID-19 dengan 20,596 kes baru, pesakit di ICU dan mereka yang memerlukan bantuan alat pernafasan serta angka kematian melebihi 10,000. DAP mengucapkan takziah kepada keluarga 10,019 mangsa kematian.
Sangat mendukacitakan bahawa Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin bertindak balas terhadap situasi yang mengerikan ini bukan dengan langkah baru untuk memerangi COVID-19 atau bahawa bekalan tambahan vaksin akan tiba sekarang, dan bukan dalam masa dua atau tiga bulan. Sebaliknya dia mengumumkan pelantikan politik Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sebagai penasihat khas Perdana Menteri kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan status Menteri.
Ini secara jelas adalah satu pembaziran wang pembayar cukai. Mahiaddin juga tidak memiliki keabsahan politik untuk membuat lantikan sedemikian berikutan kehilangan majoriti parlimennya setelah 11 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan mereka. Sebenarnya, sebarang lantikan baru oleh Mahiaddin menjelang undi percaya di Parlimen pada bulan Ogos atau September, menimbulkan kecurigaan rakyat bahawa ini adalah satu bentuk “membeli” sokongan politik.
Bagaimana pelantikan Ahmad Faizal untuk menasihati Perdana Menteri mengenai hubungan dan komunikasi masyarakat serta pembangunan sosio-ekonomi dapat membantu memerangi COVID-19 atau mengatasi kemelesetan ekonomi? Sebagai bekas Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal mempunyai rekod yang gagal dalam hubungan masyarakat, komunikasi dan pembangunan sosio-ekonomi sehingga dia dilucutkan jawatan sebagai Menteri Besar setelah dia kalah undi percaya di DUN Perak dengan hanya 10 daripada 59 Adun yang menyokongnya .
Daripada mengambil tanggungjawab ke atas kegagalan yang telah memusnahkan begitu banyak nyawa dan mata pencarian, PN enggan mengakui kegagalan mereka telah menambah buruk krisis sedia ada. Proklamasi Darurat dan “total lockdown” tidak membantu mengurangkan malah meningkatkan jangkitan dan kematian. Ketidakcekapan Menteri, amalan dua darjat dalam penguatkuasaan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pusingan U dasar hanya menambah buruk lagi krisis kesihatan awam dan ekonomi.
Pelantikan Ahmad Faizal dengan jelas menunjukkan bahawa Mahiaddin telah hilang arah tuju dan tidak mempunyai idea atau rancangan untuk membimbing Malaysia keluar daripada krisis sekarang. Rakyat Malaysia ingin melihat sama ada halatuju untuk membuka semula ekonomi dengan segera atau langkah-langkah mitigasi COVID-19 dan akauntabiliti awam terhadap 10,019 kematian, 1,203,706 kes atau kerugian ekonomi lebih daripada RM500 bilion sejak MCO 1.0 tahun lalu, dan bukannya Penasihat Khas yang baru dengan status Menteri. Tidak ada sebab mengapa Malaysia perlu gagal bersama-sama dengan Mahiaddin.