Kurang satu bulan dari sekarang, kita akan memasuki tahun baru Harimau dengan kemeriahan tarian naga dan percikan bunga api. Tradisi pemberian hadiah dalam masyarakat Cina sebagai tanda penghormatan, kesyukuran dan ucapan selamat sejahtera juga tidak ketinggalan. Arus permodenan hari ini bukan penghalang kepada amalan tradisi nenek moyang. Namun begitu, saya berharap pada sambutan Tahun Baru Cina kali ini, kita dapat mempertimbangkan kesan-kesan daripada tindakan kita kepada alam sekitar sewaktu musim perayaan.
Menurut National Geographic pada 2018, 40% atau 161 juta tan plastik yang dihasilkan bertujuan untuk pembungkusan yang digunakan sekali sahaja lalu dibuang. Tambahan lagi, endemik yang berterusan sejak tahun 2019 juga telah mendorong penggunaan plastik sekali guna terutamanya pelitup muka dan peralatan perlindungan diri PPE hingga menjejaskan usaha kita untuk mengurangkan penggunaanya dalam kehidupan seharian. Dapatan daripada hasil kaji selidik oleh PGC mendapati peralihan kepada aktiviti beli-belah dalam talian (online shopping) semasa musim pandemik merupakan antara penyumbang tertinggi kepada penggunaan plastik sekali guna semasa proses pengangkutan. Bersempena dengan sambutan perayaan yang akan tiba tidak lama lagi, hamper yang mengandungi pelbagai jenis barangan juga akan dibungkus menggunakan plastik sekali guna untuk dijadikan hadiah kepada kaum keluarga dan rakan-rakan.
Sejak pengenalan kempen Hari Tanpa Beg Plastik pada setiap Isnin sejak tahun Julai 2009 sehingga ke hari ini, kerajaan negeri tidak berputus asa untuk menyingkirkan penggunaan plastik sekali guna di Pulau Pinang. Sebagai sebahagian daripada satu lagi usaha berterusan untuk membendung lonjakan penggunaan plastik sekali guna pada musim perayaan akan datang, Penang Green Council bekerjasama dengan Elianware Malaysia melancarkan satu insiatif untuk menggalakkan peruncit, pasar raya dan pasar raya besar supaya menukar hamper plastik sekali guna kepada bekas boleh guna semula untuk pembungkusan hadiah. Bekas boleh guna semula ini boleh digunakan sebagai bekas penyimpanan barang selepas dikosongkan, sekaligus memberikannya peluang kedua dan tidak berakhir di tapak pelupusan. Kita juga berharap pengguna akan lebih berhati-hati dengan pilihan masing-masing semasa membeli-belah untuk perayaan yang akan datang.
Oleh itu, selamat menyambut tahun baru Harimau yang lebih hijau dan semoga kita sentiasa berada dalam keadaan selamat, sihat dan sejahtera.