Skip to content

Sasaran 225,000 pelajar TVET, mustahil tetapi perlu dicapai menjelang 2020

Malaysia memerlukan sumber manusia yang terlatih dalam bidang teknikal untuk memenuhi keperluan tenaga kerja pada masa hadapan. Oleh yang demikian adalah wajar untuk ibubapa dan anak-anak menyedari akan keperluan negara ini. Awal-awal lagi anak-anak kita harus didedahkan tentang kepentingan pendidikan teknikal supaya mereka dapat menyediakan minda ke arah matlamat tersebut.

Kita tidak boleh bergantung kepada tenaga kerja teknikal daripada negara-negara asing. Kita harus menyediakan tenaga kerja sendiri dalam bidang-bidang teknikal yang mempunyai keperluan yang tinggi.

Dalam Rancangan Malaysia yang Ke Sebelas, kerajaan telah merencanakan strategi-strategi mengupayakan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) yang diterajui industri.

Di bawah Rancangan Malaysia yang Ke Sebelas dijangka akan mewujudkan 1.5 juta peluang pekerjaan. Daripada jumlah itu, dikatakan 60% pekerjaan memerlukan kelayakan berkaitan TVET. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa persoalan yang perlu dijawab untuk mencapai sasaran ini. Antara persoalan-persoalan yang timbul ialah :

  1. Samada kita dapat berjaya menukar minda masyarakat yang terlalu mengagung-agungkan pekerjaan kolar putih?
  2. Samada kualiti graduan-graduan TVET yang dihasikan dapat memenuhi keperluan tempat kerja.
  3. Samada dapat mewujudkan penyelarasan yang baik dan sistematik dari segi kepiawaian kualiti diantara institusi TVET swasta dan awam.
  4. Samada dapat mewujudkan kerjasama yang erat diantara industri dan institusi TVET dalam merangka kurikulum dan penempatan pekerjaan.

Satu daripada masalah utama dalam menjayakan matlamat ini ialah terdapat jurang yang amat besar serta ketidakseragaman diantara pendidikan TVET swasta dan awam. Perkara ini harus diberi tumpuan supaya keyakinan industri meningkat terhadap graduan-graduan TVET. Selain daripada itu, ibubapa juga akan lebih berani menghantar anak-anak mereka melanjutkan pendidikan dalam bidang TVET.

Selagi kerajaan tidak dapat meyakinkan sektor industri dan ibubapa, maka aspirasi untuk membawa perubahan dalam bekalan tenaga kerja negara tidak akan tercapai. Pada tahun 2013, seramai 164,000 pelajar telah diambil mengikuti pendidikan TVET. Dijangka ini akan meningkat secara berperingkat setiap tahun sehingga mencapai matlamat 225,000 pelajar TVET pada tahun 2020. Bolehkah sasaran ini dicapai oleh kerajaan?