Berapakah populasi negara kita yang sebenar? Secara umumnya kita simpulkan populasi negara kita adalah sekitar 30 juta orang. Walau bagaimanapun, negara kita juga turut didiami oleh warga asing yang tidak diambil kira dalam menentukan jumlah populasi negara.
Berapakah jumlah warga asing yang menetap di Malaysia? Dianggarkan sebanyak 6 juta orang yang kebanyakkanya adalah pendatang asing tanpa izin. Kemasukkan pendatang asing tanpa izin ini masih berlaku dalam jumlah yang besar. Kementerian Dalam Negeri tidak boleh menafikan hal ini.
Secara nisbah negara kita mempunyai 1 orang warga asing untuk setiap 5 orang warganegara Malaysia. Statistik ini amat menakutkan dan membimbangkan. Adakah pendatang asing ini akan menjadi kumpulan yang lebih besar jumlahnya daripada kumpulan-kumpulan etnik minoriti di negara ini?
Kemasukkan warga negara asing secara melambak akan menimbulkan pelbagai masalah sosial di negara kita. Selain daripada itu, ekonomi negara juga boleh terjejas dengan aliran keluar wang yang banyak ke negara-negara lain.
Berapakah jumlah wang yang dihantar keluar ke negara masing-masing oleh pekerja-pekerja asing ini setiap bulan?
Apakah rancangan kerajaan untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja di sektor-sektor tertentu selain daripada bergantung kepada pekerja asing?
Malaysia berniat untuk mencapai sasaran melebihi 35% pekerja mahir menjelang tahun 2020. Bolehkah hasrat itu tercapai?
Menurut Kementerian Sumber Manusia, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, pekerja asing tidak melebihi 15% daripada jumlah guna tenaga negara menjelang tahun 2020.
Pada pandangan saya, kedua-dua sasaran ini tidak akan dicapai dalam tempoh 4 tahun. Kita masih gagal menghasilkan tenaga mahir yang secukupnya. Di samping itu, kemasukkan warga asing juga dilihat masih tidak terkawal.