Satu badan siasatan bebas mesti ditubuhkan bagi menyiasat kes rogol yang melibatkan atlet bola baling Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 di UPM bagi memastikan atlet perempuan selamat agar kejadian memalukan ini tidak berulang atau Pulau Pinang akan mempertimbangkan penyertaan atlet perempuan dalam SUKMA pada masa depan.
Terdapat aduan keselamatan longgar di asrama perempuan di sebalik jaminan Kementerian dan penganjur bahawa keselamatan berada di tahap yang memuaskan. Jelas keselamatan longgar sehingga jenayah seksual yang memalukan ini boleh berlaku. Jenayah seperti ini bukan sahaja mencalarkan imej SUKMA tetapi juga reputasi sukan antarabangsa di Malaysia.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu jaminan jelas daripada Menteri Belia dan SukanKhairy Jamaludin berhubung tahap keselamatan dan tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebabkan keselamatan longgar di UPM. Jika Khairy gagal memberikan jaminan itu, maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menimbang semula penyertaan atlet wanita dalam SUKMA pada masa depan.